BUTTERWORTH: Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan rasuah sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap suspek kes curi.
Tertuduh, Mohd. Azlan Mohd. Nor, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohd. Azlan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) secara rasuah meminta masing-masing RM1,500 daripada dua individu yang berusia 36 dan 45 tahun.
Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kedua-dua mereka yang terbabit dalam kes curi dalam bangunan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik nombor 11 Jabatan Siasatan Jenayah IPD SPT, di sini kira-kira pukul 5.40 petang pada 15 Julai 2021.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.
Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan apabila didakwa menerima RM1,300 daripada salah seorang individu terbabit.
Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di lokasi sama kira-kira pukul 6.25 petang pada 8 Ogos 2021.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri manakala tertuduh diwakili peguam, Chandra Segaran.
Terdahulu dalam prosiding kes, Chandra Segaran memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya perlu menanggung ibu bapa, isteri dan seorang anak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Kes disebut semula pada 26 September ini. – UTUSAN