SHAH ALAM: Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 di Pasar Moden Seksyen 16 antara inisiatif peniaga di sini memeriahkan tarikh keramat negara, 31 Ogos dan dalam masa sama mempromosikan premis-premis di sana.
Sambutan julung-julung kali dibuat itu berikutan masih ramai penduduk di bandar raya ini khususnya sekitar Seksyen 16 dan sekitar kawasannya tidak menyedari kewujudan pasar moden berkenaan ekoran kedudukannya yang agak tersorok dari jalan utama.
Walaupun sudah lebih dua dekad beroperasi, masih ada warga bandar raya ini yang tidak tahu kewujudan Pasar Moden Seksyen 16 di sini.
Menurut Ahli Jawatankuasanya, Kamal Kamaruddin, 54, sudah dua dekad pasar berkenaan beroperasi, justeru, peniaga mengambil pendekatan untuk meraikan sambutan kemerdekaan dengan menguar-uarkannya dalam media sosial.
“Sejak tiga hari lalu, kesemua peniaga bersetuju untuk menghiasi gerai masing-masing dengan Jalur Gemilang hasil dana kutipan tabung dalam kalangan peniaga. Kita berharap program sebegini dapat menarik orang ramai membeli barang basah di sini.
“Kita sebenarnya ada tiga pasar basah di Shah Alam iaitu di Seksyen 6, Taman Sri Muda dan Seksyen 16. Mungkin disebabkan lokasi di belakang kilang-kilang orang bandar raya ini tidak perasan wujud pasar basah di sini,” katanya ketika ditemui pada program tersebut, hari ini.
Beliau menambah, sambutan tersebut turut diadakan sebagai menzahirkan rasa syukur para peniaga dengan berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 sejak April lalu.
Jelas Kamal, semasa PKP selama dua tahun, tidak ramai pengunjung atau pelanggan datang berurusan di pasar ini akibat PKP, justeru, sambutan kemerdekaan dianggap sebagai penanda aras, operasi pasar kembali meriah.
“Hari ini kita jemput penghibur terkenal Helmi Gimik untuk menghiburkan pelanggan di samping kita mengadakan pertandingan mengira biji betik. Pengunjung bertuah yang memakai baju tema merdeka turut diberi hadiah seperti wang tunai dan baucer pembelian barang makanan.
“Kita berharap program ceria dan hiruk-pikuk sebegini dapat diteruskan bagi menggalakkan lebih ramai pelanggan datang ke sini,” ujarnya. –UTUSAN