SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Oktober ini bagi membentangkan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara tersebut diputuskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri dan selepas sidang khas tersebut satu lagi RUU yang akan dimaklumkan kemudian juga akan dibentangkan.
“Kami akan mengadakan sidang khas DUN Oktober ini, tarikh akan dimaklumkan, pastinya tertumpu mengenai pelaksanaan RUU Antilompat Parti,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Beliau sebelum ini berkata, kerajaan negeri akan menunggu RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli parlimen bertukar parti dikuat kuasa terlebih dahulu sebelum agenda sama dibawa ke DUN.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri tiada masalah untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri bagi membolehkan enakmen antilompat parti di peringkat DUN dikuatkuasakan.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Naib Presiden PKR, menyambut baik keputusan Presiden PKR yang melantik Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden parti itu bagi mengetuai parti di peringkat negeri bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Ini pertama kali dibuat PKR, ia menunjukkan selepas pemilihan, parti dalam keadaan baik dan bukan hanya untuk berpolitik tetapi bawa harapan untuk rakyat, tidak nampak ada perebutan dan kita diterima semua lapisan,” katanya.- UTUSAN