Rumah Merdeka Aminah ikon pelancongan Melaka -

Rumah Merdeka Aminah ikon pelancongan Melaka

AMINAH Abu Bakar meletakkan Jalur Gemilang di hadapan rumahnya di Kampung Morten, Melaka sempena bulan kemerdekaan. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Rumah Merdeka yang terletak di Kampung Morten di sini menggamit perhatian pelancong setiap tahun kerana dihiasi pelbagai saiz bendera sempena bulan kemerdekaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik, Aminah Abu Bakar, 71, berkata, idea menghias landskap dan rumah dengan hiasan patriotik telah dimulakan ibunya sejak lebih 50 tahun lalu.

Katanya, legasi itu diteruskan sehingga hari ini dan Rumah Merdeka dianggap antara ikon pelancongan di Melaka.

“Arwah ibu yang mulakan dulu kerana dia suka menghias rumah dengan pelbagai bendera setiap kali masuk bulan Ogos. Saya bersama adik-beradik lain akan membantu ibu dan lama-kelamaan terbit minat yang sama.

“Saya tidak pernah jemu untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara. Semangat ini juga saya terapkan kepada cucu yang berusia setahun hingga sembilan tahun dan mereka turut teruja menyambut Bulan Kemerdekaan.

“Rasa tenang melihat Jalur Gemilang berkibar di sekeliling rumah. Rumah ini tampak meriah dan berseri dengan pelbagai hiasan termasuk bendera Malaysia gergasi yang dicat di atas bumbung,” katanya ketika ditemui.

Tambah Aminah, dia sedang mengumpul wang kira-kira RM1,500 untuk mengecat semula bendera gergasi yang semakin kusam kerana faktor cuaca.

Menurutnya, lapisan cat baharu perlu diletakkan pada bendera tersebut setiap dua tahun sekali.

“Baru-baru ini, ada pihak datang beritahu mereka akan beri peruntukan untuk mengecat semula bendera gergasi. Setelah menunggu hampir dua minggu masih tiada perkembangan menyebabkan saya nekad guna wang sendiri saja.

“Warnanya semakin pudar kerana sudah tiga tahun tidak dibaik pulih. Jalur Gemilang gergasi ini merupakan antara tarikan pengunjung ke sini dan ia perlu dipastikan dalam keadaan baik serta ceria,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya