PARIT: Jiran-jiran kepada seorang jemaah umrah wanita berperwatakan lelaki dan berpakaian ihram di Tanah Suci yang tular dalam media sosial baru-baru menyifatkan tindakan wanita itu hanya mementingkan diri selain tidak memikirkan perasaan ahli keluarganya yang tinggal di Gelong Pepuyu, Bota di sini.
Menurut seorang jirannya, dia bersimpati terhadap keluarga wanita itu selepas mengetahui perkara itu dalam media sosial.
Jiran yang enggan namanya disiarkan berkata, rumah ibu bapa wanita itu di sini sunyi sejak kes anak mereka tular dalam media sosial.
Katanya, dia hanya melihat mereka pulang sekejap sahaja sebelum keluar semula dari rumah dalam keadaan tergesa-gesa.
“Sejak kejadian itu, saya rasa mereka ada balik sekali dua sahaja yang saya nampak tetapi mereka tidak lama, seolah-olah tergesa-gesa dan kasihan saya melihat mereka.
“Ramai juga orang yang datang ke kediaman mereka selepas video yang tular itu.
“Apabila saya tanya, mereka kata dari pihak berkuasa dan dari jabatan kerajaan tetapi rumah tersebut memang kosong tiada orang semasa mereka datang,” katanya kepada ketika ditemui pemberita di Gelong Pepuyu, Bota dekat sini hari ini.
Menurutnya, wanita yang tular dalam media sosial itu sememangnya berperwatakan seperti lelaki sejak kecil dan sering mengenakan seluar dan baju-T.
Katanya, wanita yang tular dalam media sosial itu kini bekerja di Kuala Lumpur.
“Kali terakhir saya jumpa dia semasa neneknya meninggal dunia, dia ada pulang dan saya memang terkejut apabila melihat video dia di Mekah dengan pakaian macam itu,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga berdekatan berkata, wanita itu tidak pernah singgah ke kedainya dan hanya mengetahui tindakannya berpakaian lelaki semasa menunaikan umrah melalui media sosial.
Katanya, tindakan wanita itu tidak wajar dilakukan kerana wanita itu merupakan seorang individu berakal dan waras yang tahu hukum dalam Islam.
“Dia juga perlu ingat apabila buat sesuatu perkara, balasannya bukan kepada dirinya tetapi semua orang dan apabila orang ramai tahu ia memalukan ahli keluarga,” katanya.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial berkongsi video berdurasi 17 saat memaparkan seorang wanita memakai ihram merakam dirinya tawaf depan Kaabah dalam Masjidil Haram di Mekah.
Pengguna itu memuat naik video tersebut kerana kesal jemaah wanita itu menipu status jantina ketika berurusan untuk mengerjakan umrah. –UTUSAN