Rokok tidak dijual di Kampung Sungai Jernih - Utusan Malaysia

Rokok tidak dijual di Kampung Sungai Jernih

JAAFAR Atan menampal pelekat Rumah Bebas Asap Rokok di rumah seorang penduduk Kampung Sungai Jernih di Lubok Cina, Melaka yang mengambil bahagian dalam program MyHouse. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kampung Sungai Jernih di sini layak digelar kawasan bebas rokok memandangkan sebanyak 40 daripada 80 buah rumah di situ menyertai program Rumahku Bebas Tanpa Amalan Merokok (MyHouse), bertujuan mewujudkan masyarakat bebas tembakau.

Kedai runcit di lokaliti berkenaan juga tidak lagi menjual rokok kepada penduduk bagi menjayakan usaha berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Jernih, Jaafar Atan berkata, komuniti setempat semakin berminat menyertai program berkenaan selepas melihat kejayaan program Komuniti Bebas Asap Rokok (KBAR) yang dilaksanakan sejak 2012.

Jelasnya, program itu tidak memaksa penduduk berhenti merokok, tetapi sebagai medium untuk menyebarkan nasihat dan kesedaran kepada orang ramai.

“Peringkat awal sedikit sukar kerana usaha ini dilihat seperti memaksa penduduk untuk berhenti merokok. Sebenarnya tanggapan itu salah dan setelah program ini berjalan selama 10 tahun, masyarakat mulai faham dan turut sama menjayakannya.

“Contohnya peniaga kedai runcit di kampung ini tidak lagi menjual rokok dan penduduk perlu ke pekan berhampiran untuk membeli. Kawasan umum seperti masjid, balai raya dan majlis keraian diletakkan gegantung larangan merokok, namun mereka masih dibenarkan merokok dengan syarat perlu berada jauh dari kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui.

Mengulas lanjut, Jaafar memaklumkan, KBAR dimulakan di rumah penduduk yang mahu turut sama dalam program MyHouse.

Menurutnya, institusi kekeluargaan bermula di rumah dan jika tidak diberi kesedaran awal, maka orang lain yang tidak merokok akan menderita kesan buruknya.

“Penduduk yang menyertai program ini diberikan pelekat rumah bebas asap rokok dan MyHouse. Mereka komited memastikan tiada aktiviti menghisap rokok dalam kalangan ahli keluarga di rumah.

“Lama-kelamaan ahli keluarga yang merokok dapat menerimanya dan tetamu yang bertandang juga menghormati pendirian tuan rumah. Susulan kejayaan kampung ini melaksanakan KBAR, Kementerian Kesihatan telah menganugerahkan Reben Biru pada 2018,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya