KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 12 tahun ke atas seorang pembantu kedai yang didapati bersalah merogol seorang wanita berusia 21 tahun pada dua tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Hafiez Md. Kodim, 21, turut dikenakan hukuman empat sebatan oleh Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan tertuduh terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Tertuduh kemudian diarahkan untuk menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Hafiez didakwa merogol seorang wanita yang ketika itu berusia 21 tahun di sebuah rumah inap di Chalok, Setiu dekat sini.
Perbuatan terkutuk itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 3.30 petang pada 27 Ogos 2020.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Prosiding pendengaran dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Afiqah Razali. –UTUSAN ONLINE