Ribut pasir 'terburuk' badai Pantai Geting - Utusan Malaysia

Ribut pasir ‘terburuk’ badai Pantai Geting

BEBERAPA buah khemah Program Bekwoh Keluarga Malaysia Rakyat Tumpat tumbang selepas dipukul ribut pasir dalam kejadian di Pantai Geting, Tumpat, Kelantan kelmarin. -UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Peniaga di Pantai Geting, Pengkalan Kubor di sini menyifatkan ribut pasir membadai lokasi itu semalam sebagai antara yang terburuk pernah berlaku.

Kejadian kira-kira pukul 7 malam yang berlaku bersama gumpalan awan gelap itu turut meranapkan beberapa buah khemah Program Bekwoh Keluarga Malaysia Rakyat Tumpat yang diadakan pada waktu pagi hingga petang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peniaga di Pantai Geting, Abdul Rahman Ghazali, 59, berkata, sejak 15 tahun meraih rezeki di kawasan tersebut, kejadian semalam merupakan insiden paling ngeri yang pernah dihadapinya.

Menurutnya, walaupun kejadian itu hanya berlaku selama 15 minit sahaja, namun, ia boleh diumpamakan seperti mahu kiamat.

“Hal ini kerana awan tebal yang berwarna hitam datang sekali dengan ombak kuat yang disusuli tiupan angin kencang.

“Mengejutkan, pasir daripada kawasan pantai ini dibawa oleh angin sehingga ke kawasan gerai saya yang terletak kira-kira 400 meter dari pesisir pantai,” katanya di sini hari ini.

Abdul Rahman memberitahu, kejadian itu menyebabkan semua pengunjung termasuk penduduk di sini ‘gerun’ melihat fenomena tersebut.

Katanya, suasana ketika itu juga kelam kabut kerana orang ramai tidak dapat melihat kerana pandangan ditutupi dengan ribut pasir yang kuat.

Sementara itu, Wan Sapiah Wan Yusoff, 43, memberitahu, dia menggigil ketakutan apabila angin kita tiba-tiba membadai kawasan itu.

Katanya, terkejut dengan kejadian itu dia terus mengemas barang jualan dan kemudian berlari menyelamatkan diri dengan berlindung di kawasan selamat. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN