MELAKA: Melaka mencatat satu lagi sejarah apabila replika durian terbesar di Malaysia yang ditempatkan di Galeri Warisan Kota Melaka mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR), semalam.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar berkata, replika berukuran 6.3 meter tinggi, 3.3 meter lebar dan 2 meter garis pusat adalah yang terbesar pernah dibuat setakat ini.
Menurutnya, replika durian yang diiktiraf MBOR itu diharap menjadi salah satu tarikan baharu pelancongan Melaka, selain merancakkan semula aktiviti ekonomi domestik.
“Kementerian melalui Tourism Malaysia sentiasa berusaha mencari ruang dan peluang mempromosikan produk-produk baharu tempatan seperti minuman, makanan dan buah-buahan tempatan.
“Kita kaya dengan pelbagai jenis buah tempatan jika hendak dibandingkan negara jiran, mereka tidak ada sumber ini tetapi sebaliknya kita ada selain produk-produk kebudayaan yang turut kita pamerkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian Magical Melaka Food & Fruit Fest 2022 di Pusat Pelancongan (TIC), Jalan Kota di sini semalam.
Majlis perasmian turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Ditanya mengenai kedudukan replika durian yang diletakkan bersebelahan tapak kubu lama, Santahara berkata, ia tidak melanggar peraturan yang ditetapkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).
“Kita faham dan sensitif dengan perkara ini dan saya beri jaminan replika tersebut tidak mengganggu dan hanya diletakkan berhampiran tapak sejarah buat sementara waktu.
“Hasil perbincangan pihak kementerian dan kerajaan negeri, tapak replika itu hanya untuk tempoh tiga hari sebelum ia akan dipindahkan ke tempat asal di hadapan Galeri Warisan Kota Melaka,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE