BAGAN SERAI: Seorang remaja perempuan maut manakala rakannya cedera parah setelah motosikal mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Kubu Gajah- Semanggol di sini, semalam.
Kemalangan pada kira-kira pukul 2 petang itu menyebabkan Nurul Hafizatul Syuhada Zinun, 17, maut di tempat kejadian manakala rakannya yang membonceng, Nurul Fasya Qistina Abu Hassan, 17, cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, kemalangan berlaku apabila kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis SM Sport 110E dari arah Semanggol ke Kubu Gajah mengubah haluan dari kiri ke kanan untuk masuk simpang di kanan jalan.
Katanya, sebuah lagi motosikal ditunggang oleh dua remaja, Alisha Amira Ali, 15 bersama pemboncengnya, Nurul Alia Nur Amin, 15, dari arah jalan yang sama dari belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi sebelah kanan motosikal dinaiki mangsa yang berada di hadapan menyebabkan kedua-dua buah motosikal hilang kawalan dan terbabas.
“Akibat pelanggaran itu, Nurul Hafizatul Syuhada bersama rakannya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala manakala penunggang dan pembonceng yang masing-masing berusia 15 tahun mengalami kecederaan ringan.
“Nurul Hafizatul Syuhada disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan mayatnya dihantar ke bahagian forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.
“Manakala Nurul Fasya Qistina dihantar ke Hospital Taiping dan dirawat di zon merah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, siasatan mendapati kemalangan disebabkan penunggang motosikal SM Sport mengubah haluan dari kiri ke kanan tanpa memberi ruang.
“Hasil bedah siasat ke atas mayat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan parah di beberapa bahagian kepala,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN