JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) akan terus menggunakan strategi kempen positif bagi menarik kembali sokongan rakyat terhadap gabungan berkenaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Isham Jalil berkata, perkara sebaliknya yang dilakukan seteru politik mereka, iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang lebih banyak membawa kempen negatif.
“Menjelang PRU akan datang, PH dan juga PN banyak membawa kempen negatif tentang skandal dan pelbagai lagi termasuk serangan peribadi, kita (BN) tidak buat seperti itu.
“Walaupun kita turut bersuara berhubung skandal seperti isu projek kapal tempur pesisir (LCS), namun fokus utama adalah untuk memulihkan ekonomi negara. Ini kerana kita sedar isu ekonomi dan sama ada rakyat dapat makan adalah lebih utama, itu masalah di depan mata ketika ini.
“Strategi kempen positif seperti yang digunakan semasa Pilihan Raya Negeri PRN Melaka dan Johor lalu membuktikan kejayaan,” katanya pada Program Cabaran dan Peluang BN Di Bandar Dalam PRU15 yang diadakan di Dewan Taman Molek, di sini malam tadi. Turut hadir, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambros.
Mentadbir
Menurut beliau, kegagalan kerajaan PH dan PN dalam mentadbir negara ketika tempoh pandemik Covid-19 dilihat akan turut memberi kelebihan kepada BN, khususnya di kawasan bandar.
Ini kerana masyarakat di bandar lebih terkesan akibat kegagalan kerajaan mengawal ekonomi dan pentadbiran negara berbanding masyarakat di kawasan luar bandar, katanya.
“Saya beritahu BN harus menggempur pengundi bukan sahaja di kawasan luar bandar tetapi juga di kawasan bandar kerana golongan berkenaan sedang marah dengan kerajaan yang dilihat gagal mengawal pandemik Covid-19 sebelum ini,” ujarnya.
Mengulas harapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu BN Johor menyumbangkan 20 kerusi parlimen daripada keseluruhan 26 yang dipertandingkan dalam PRU15, Isham memberitahu, perkara itu adalah realistik.
“Sasaran untuk BN Johor capai 20 kerusi, itu adalah realistik dan boleh dicapai, enam lagi kawasan itu memang sudah diketahui sebagai kubu kuat DAP. Cuma terdapat cabaran untuk kita memperoleh sasaran itu,” tambahnya.- UTUSAN