KEMAMAN: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meluahkan untuk mengundur diri daripada politik dengan memberi laluan kepada calon muka baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bekas Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, keputusan itu diambil bagi memberi peluang kepada individu lain yang berwibawa untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Secara prinsip, saya suka melihat wajah-wajah baharu menjadi sebahagian daripada penjenamaan Barisan Nasional (BN) dalam PRU akan datang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ahmad Shabery berkata, beliau yakin pucuk pimpinan mempunyai formula terbaik dalam memilih calon termasuk di Parlimen Kemaman.
“Saya juga bersedia menawarkan khidmat serta pengalaman untuk membantu calon BN memperoleh kemenangan,” ujarnya.
Sebelum ini, akhbar melaporkan Ahmad Shabery menafikan beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik dan bakal dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu sekiranya BN berjaya merampas negeri itu dalam PRU15.
Pada PRU14, Ahmad Shabery tumpas di Parlimen Kemaman kepada calon Pas, Che Alias Abdul Hamid dengan majoriti 2,162 undi.- UTUSAN