Program Singgit Seposen: kitar semula barangan dapat duit - Utusan Malaysia

Program Singgit Seposen: kitar semula barangan dapat duit

RAIS Yasin menunjukkan minyak masak terpakai yang dikumpul dalam program Singgit Seposen di Dewan Alamanda, Jasin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Masyarakat perlu melipatgandakan amalan kitar semula dengan mengasingkan barangan tertentu kerana ia boleh dijual untuk menjana pendapatan tambahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, program Singgit  Seposen anjuran Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) dilihat berjaya mendidik orang awam menguruskan sisa buangan dengan lebih teratur.

Menurutnya, orang ramai yang datang ke Dewan Alamanda di sini boleh menebus tujuh jenis sisa buangan dengan kadar bayaran yang berpatutan, malah, boleh dijadikan sebagai pendapatan tambahan.

Beliau berkata, tujuh jenis sisa buangan itu adalah sisa minyak masak, fabrik, elektronik, tin aluminum, botol kaca, kertas dan botol plastik minuman.

“Saya melihat program ini mendapat sambutan yang baik daripada penduduk di Jasin dan sehubungan itu ia wajar diperluaskan ke seluruh daerah di negeri ini.

“Ia memberi pendapatan tambahan kepada penduduk di samping dapat membudayakan kitar semula dalam kalangan masyarakat.

“Atas kejayaan itu program Singgit Seposen selepas ini akan diadakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Oktober depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program berkenaan di Dewan Alamanda di sini semalam.

Program itu dijalankan secara pandu lalu menggunakan konsep imbas, turunkan, bayar (scan, drop, pay) bagi memudahkan proses penjualan sisa dengan kerjasama Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Mengulas lanjut, Rais berkata, PTHM juga merancang untuk melaksanakan inisiatif tersebut di taman-taman perumahan dengan kerjasama jabatan-jabatan berkaitan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Menurutnya, menerusi program tersebut sebanyak 4,500 kilogram (kg) sisa buangan berjaya dikumpulkan dan menghasilkan pendapatan sebanyak RM2,300.

“Hasil sisa buangan yang berjaya dikumpulkan iaitu sisa minyak masak 650 kg, fabrik (1,598 kg), elektronik (552 kg), tin aluminium (102 kg), botol kaca (146 kg), kertas (1,117 kg) dan botol plastik minuman (286 kg). –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya