PLKN Kampung Hijrah makin suram dan terbiar -

PLKN Kampung Hijrah makin suram dan terbiar

KEADAAN Kem PLKN Kampung Hijrah di Kuantan, Pahang yang usang dan terbiar sejak program tersebut dimansuhkan pada 2018. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Suram dan terbiar, itu yang boleh digambarkan melihat keadaan beberapa bangunan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), di sini yang dulunya gah kini kian usang.

Tinjauan Utusan Malaysia di Kem PLKN Kampung Hijrah di sini dan Kem Semarak, Tanjung Gosong di Pekan memperlihatkan ada bahagian bangunan yang rosak sekali gus jelas menunjukkan ia sudah lama dibiarkan. 

Penduduk Kampung Hijrah, Mohd. Sham Idris, 55, berkata, kerajaan seharusnya meneruskan program PLKN yang telah dilaksanakan itu berikutan fasiliti yang dibina begitu lengkap.

“Melihat satu demi satu kem PLKN ditutup, ia merupakan pembaziran yang cukup besar kerana rata-rata kem latihan ini dibina mengikut spesifikasi yang tepat dan lengkap berdasarkan kehendak dan penilaian kerajaan.

“Bina tapi tidak menggunakan sepenuhnya, akhirnya merugikan banyak pihak memandangkan ia dilihat sudah berjaya dilaksanakan lebih 10 tahun.

“Sekarang… kem-kem ditinggalkan begitu sahaja oleh pengusaha, memang ada ura-ura macam Kem PLKN Kampung Hijrah bakal dijadikan pusat tahfiz tapi masih belum dilaksanakan, begitu juga dengan Kem Semarak, sudah lama sekolah mahupun badan menganjurkan program di situ sejak sebelum pandemik lagi,” katanya di sini.

Pengusaha warung terletak di hadapan Kem Semarak, Rofeah Musa, 45, berkata, dia sebelum ini dapat melihat pusat latihan PLKN begitu membangun dan meriah dengan adanya belia terutama lepasan sekolah aktif dengan pelbagai aktiviti yang telah ditetapkan.

Jelasnya, seronok melihat keadaan kem yang terjaga, ada penghuni dan pegawai latihan mengaktifkan suasana.

“Jarak antara lokasi saya meniaga dengan Kem Semarak tidak jauh, lebih kurang 100 meter sahaja, jadi saya sendiri dapat melihat perjalanan kem latihan tersebut memandangkan sudah meniaga sejak 2006 lagi.

“Dulu kami tidak merasa sunyi, kawasan ini sentiasa meriah terutama bila melihat kem yang tidak pernah sunyi tapi kini terbiar begitu sahaja hingga keadaan pun semakin sepi… Rasa sayang melihat kem yang dulu cantik dan terjaga kini terbiar dipenuhi daun kering serta bangunan nampak semakin memburuk.

“Sebelum ini, selepas PLKN tutup ada juga orang datang buat program tapi sekejap sahaja lepas tu disusuli pandemik Covid-19 dan sekadang walaupun sudah dibuka semula serta serta ditempatkan pengawal menjaganya tapi keadaanya sudah tidak sama seperti dulu,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya