PKNK sudah hentikan kerja di kaki Gunung Jerai - Utusan Malaysia

PKNK sudah hentikan kerja di kaki Gunung Jerai

STRUKTUR jalan dan landskap yang rosak teruk di kawasan Peranginan Titi Hayun yang berpunca daripada kejadian arus deras dan banjir kilat Oktober tahun lalu.-UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) sudah mengarahkan kerja-kerja pembersihan di kaki Gunung Jerai berhampiran kawasan rekreasi Titi Hayun dihentikan pada 24 Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Datuk Syed Yusof Syed Othman berkata, pihaknya mengambil maklum kebimbangan orang ramai terhadap kerja-kerja terbabit.

Katanya, pihak kontraktor juga diarahkan untuk membersihkan kawasan tanah yang dimiliki perbadanan itu bagi mengelak ia terjejas lebih teruk.

“Selain itu, mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kerosakan yang berlaku akibat kerja pembersihan yang telah dijalankan.

“Tindakan itu dibuat setelah perbadanan menerima makluman berkenaan aduan yang dibuat kepada Majlis Daerah Yan (MDY),” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan kebimbangan penduduk kampung di sekitar kawasan Rekreasi Titi Hayun terhadap aktiviti pembersihan hutan yang dilakukan di kaki Gunung Jerai berdekatan kawasan rekreasi tersebut baru-baru ini.

Kerisauan mereka itu timbul ekoran masih terbayang tragedi kepala air dan banjir yang membadai beberapa kampung di Mukim Yan pada 18 Ogos tahun lalu yang mungkin akan berulang lagi.

Tambah Syed Yussof, penyewa juga perlu mendapatkan kelulusan bertulis daripada MDY dan semua agensi yang berkuasa termasuk Jabatan Perkhidmatan Verterinar (JPV).

Menurut beliau, PKNK dalam perancangan untuk membangunkan semula kawasan dusun itu kepada sebuah taman agropelancongan yang akan dikenali sebagai Taman Intergrasi Moden Agro Bioteknologi.

Katanya, komponen projek tersebut adalah terdiri daripada dusun buah-buahan, pusat ternakan lebah kelulut serta beberapa aktiviti lain berasaskan agropelancongan.

“Kita komited dalam memastikan kepatuhan pada undang-undang dan piawaian alam sekitar terutamanya apabila membabitkan isu keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

“Sehubungan itu, orang ramai khususnya yang tinggal berhampiran dinasihatkan untuk tidak bimbang mengenai implikasi pembangunan yang akan dijalankan di tempat itu,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya