ISKANDAR PUTERI: Petinju profesional negara, Muhammad Farkhan Haron antara 24 Ahli Majlis yang baharu dilantik untuk berkhidmat di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Barisan Ahli Majlis itu terdiri daripada 12 ahli UMNO, lapan MCA, dua MIC serta dua lantikan khas daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Hafiz Ahmad berharap individu dilantik akan memberi komitmen sepenuhnya dalam menjalankan tugas dan amanat untuk kesejahteraan masyarakat setempat.
“Antara peranan dan tanggungjawab seorang ahli majlis ialah menjadi perantaraan dan jurucakap kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Mereka mempunyai kewajipan untuk mewakili masyarakat setempat dan kepentingan rakyat, bukannya kepentingan mana-mana kumpulan tertentu yang tidak selari dengan keperluan masyarakat,” katanya ketika pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis MBIP yang baharu, di sini hari ini.
Tambah beliau, Ahli Majlis akan terlibat dalam membentuk dasar sesebuah PBT bagi memastikan dasar-dasar berkenaan tidak menimbulkan keresahan orang ramai dan selari dengan pentadbiran kerajaan negeri.
“Ahli Majlis juga perlu mematuhi Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang melarang mereka terlibat secara langsung dalam mana-mana syarikat untuk mendapatkan kontrak.
“Seseorang ahli majlis yang mempunyai kepentingan dalam kontrak, sama ada secara langsung atau tidak, tidak seharusnya menghadiri mana-mana mesyuarat yang melibatkan perkara itu.
“Mereka mesti mematuhi peraturan ini dan memberikan tumpuan sepenuhnya dalam menunaikan tanggungjawab yang telah diberikan,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE