JERANTUT: Pekebun Durian Premium Kampung (DPK) Damak di sini menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 bagi memperkenalkan baka durian itu kepada pengunjung di situ.
Pengusaha kebun durian Kampung Damak, Ahmad Mustafa, 42, berkata, penyertaan kali pertama itu turut membawa misi memperkenalkan inovasi terbaharu pembiakan benih baka DPK menerusi kaedah cantuman pantas serta jualan benih.
“Pameran serta demonstrasi cantuman tunas DPK Damak, Jerantut berkonsepkan ‘Millions Of Seedling’ (MOS) kerana kaedah ini (cantuman) boleh menghasilkan benih pokok durian baka berkenaan yang lebih banyak dan kadar pembesaran pokok lebih cepat untuk mengeluarkan buah.
“Saya tidak lokek berkongsi pengetahuan dan pengalaman penghasilan cantuman MOS kepada pengunjung yang berminat untuk mencuba dan menerokai penanaman DPK,” katanya di sini hari ini.
Menurut Ahmad, dia mula membuat percubaan cantuman benih DPK sejak 20 tahun lalu setelah memperoleh kursus kemahiran asas daripada Jabatan Pertanian Pahang (JPP) dan kemudiannya mula memfokuskan bakan durian Kampung Damak yang kebanyakan pokok yang ditanam sudah berusia lebih 30 tahun.
“Saya yakin segala usaha yang dirintis menerusi cantuman pantas (MOS) boleh menghasilkan buah (durian) yang bermutu tinggi setanding baka popular pada masa ini.
“Hasil komitmen dengan kerjasama rakan pekebun di Damak, kita berjaya mengeluarkan serta memperkenalkan baka DPK, malah sudah menembusi pasaran sejak lima tahun lalu sehingga ini sudah ada penggemar dan pelanggan setiap kali musim raja buah ini,” katanya.
Beliau berkata, antara buah durian yang berjaya serta dikenali menerusi kaedah MOS, iaitu, Damak King, MAS Konggo, Mas Hijau, Durian Katak, Naga Emas dan Kepala Gajah yang kesemuanya baka ‘asli’ DPK daripada Kampung Damak di sini.
Katanya, baka DPK Damak sudah dikenali ramai dan ada penggemar dari seluruh Malaysia dan Selatan Thailand yang kerap kali datang ke Kampung Damak untuk memperoleh buah DPK setiap kali musim durian.
“Sebagai contoh, DPK Mas Hijau dan Naga Mas mempunyai isi yang enak termasuk aromanya serta tekstur ulasnya seperti ‘aiskrim’ menjadi perhatian pelanggan setiap kali musim buah malahan kebanyakan penggemar luar lebih awal membuat tempahan termasuk DPK jenis lain,” katanya.
Tambahnya, penyertaan di pameran tersebut memberikan peluangnya membuat demonstrasi cantuman pantas DPK serta pameran dan jualan benih pokok tersebut serta pamplet dan buku Durian Malaysia yang memfokuskan DPK di Kampung Damak dan seluruh negara.
“Pengunjung boleh membuat tempahan baka DPK Damak yang dijual antara RM20 hingga RM30, tetapi penghantaran boleh saya lakukan sekiranya dalam kuantiti yang banyak,” ujarnya.
Pekebun dan pengusaha pertanian yang ingin mempelajari kaedah cantuman pantas atau membuat tempahan benih DPK boleh menghubungi Ahmad menerusi talian 01113210544. –UTUSAN ONLINE