Penganggur mengaku tidak salah bakar  remaja

Penganggur mengaku tidak salah bakar remaja

SHAIKH Hilman Hakim Shaikh Anuar (kiri) yang dituduh mencederakan seorang remaja dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kemaman, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mencederakan seorang remaja berusia 15 tahun hingga melecur, dua minggu lalu. 

Tertuduh, Shaikh Hilman Hakim Shaikh Anuar, 28, yang menangis di kandang tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd. 

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan api ke atas Muhammad Fiqrie Adam Abdullah, pada pukul 3 pagi di simpang empat Kampung Perasing Jaya, Jabor, 22 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nurhanisah S. H. Sahul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Farhana Shamsudin. 

Terdahulu, Nurul Farhana memohon tertuduh dibenarkan diikat jamin berikutan isteri lelaki tersebut kini sedang sarat hamil anak keempat dan menunggu masa untuk bersalin. 

Wan Suhaila kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin beserta  syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri mengikut tarikh yang ditetapkan di balai polis berdekatan, selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan. 

Mahkamah menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes. 

Akhbar ini sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki melecur dari leher hingga ke bahagian depan dan belakang badan selepas dipercayai disimbah minyak sebelum dinyalakan api oleh beberapa individu. 

Remaja yang keciciran sekolah itu kini sedang dirawat di unit kebakaran Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Pahang.

Khamis lalu, tiga individu berusia 18 hingga 20 tahun turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan sama. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya