Penduduk Kampung Nongka semarakkan Bulan Kemerdekaan -

Penduduk Kampung Nongka semarakkan Bulan Kemerdekaan

SEBAHAGIAN penduduk Kampung Nongka yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur menyertai perarakan sempena Hari Kemerdekaan dengan berarak mengelilingi kampung sambil mengibarkan Jalur Gemilang di Kubang Pasu, di sini. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sekumpulan penduduk Kampung Nongka, Napoh di sini mengambil inisiatif mengadakan program perarakan Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan bagi membantu menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan mereka terutama anak-anak muda.

Perarakan penuh bersemangat itu disertai 35 penduduk daripada pelbagai lapisan usia sambil mengibar Jalur Gemilang dan berlatarkan lagu patriotik dipasang daripada kenderaan Jabatan Penerangan Kubang Pasu.

Lebih menarik, penduduk Kampung Nongka yang bermaksud ‘Adik Saya’ dalam bahasa Thailand itu juga mengambil inisiatif menghiasi perkampungan mereka dengan 100 Jalur Gemilang untuk menyerlahkan lagi suasana kemerdekaan.

Menurut Timbalan Pengerusi Komuniti Malaysia Kampung Nongka, Md. Rejab Hamid, 64, perarakan itu adalah kali kedua sejak tahun lalu dan mereka berhasrat menjadikan ia sebagai acara tahunan kampung berkenaan.

“Apa yang menarik ia dianjurkan oleh anak-anak muda kampung yang menggelar diri mereka sebagai Angkatan Muda Komuniti Malaysia Kampung Nongka. Alhamdulillah hari ini sebanyak 35 penduduk menyertai perarakan ini, ada yang berkawad, menaiki basikal lama dan motosikal yang dihiasi Jalur Gemilang.

“Tujuan kami adalah untuk berhimpun dan menyemarakkan semangat kemerdekaan tanpa mengira lapisan umur,” katanya ketika ditemui selepas aktiviti perarakan itu di Kampung Nongka, Napoh di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Azrul Azibundin, 40, yang juga Ketua Angkatan Muda itu, aktiviti berkenaan diharapkan dapat memberi kesedaran kepada anak-anak muda tentang erti kemerdekaan.

“Kami mula anjurkan program ini sejak tahun lepas walaupun ketika itu ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tahun ini kami dapat buat dengan lebih meriah dan kami bercadang untuk terus mengadakan program ini sebagai acara tahunan,” katanya.

Mariam Osman, 64, pula memberitahu, dia merasa bertuah kerana berpeluang menyertai program seperti itu yang menyaksikan penyatuan komuniti kampung berkenaan.

“Rasa syukur apatah lagi program ini dianjurkan oleh anak-anak muda yang bersemangat. Mereka yang cari dana dan kumpul wang untuk beli bendera dan kemeja-T untuk diberikan kepada peserta perarakan ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya