JOHOR BAHRU: Padah melanggar lampu isyarat merah!
Seorang penunggang motosikal cedera parah dilanggar sebuah kereta di simpang empat lampu isyarat Jalan Besar/Jalan Bandar, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 1.43 petang itu, lelaki berusia 29 tahun yang menunggang motosikal mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Proton Saga dan motosikal jenis Yamaha.
Berdasarkan siasatan awal, kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berumur 47 tahun dalam perjalanan menuju ke Mount Austin, di sini.
“Setibanya di tempat kejadian, lelaki meneruskan perjalanan setelah lampu isyarat bertukar hijau, namun, tiba-tiba datang sebuah motosikal jenis Yamaha ditunggang oleh seorang lelaki dari simpang kanan.
“Pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan yang disyaki tidak mematuhi isyarat lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini, tular video berdurasi 24 saat menunjukkan penunggang motosikal itu melanggar lampu isyarat.
Tindakan penunggang motosikal itu mengundang padah apabila dia melambung dilanggar sebuah kereta Proton Saga.
Mohd. Sohaimi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, terutamanya ketika waktu puncak.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN ONLINE