Pemuda dicekup ketika leka bungkus air ketum - Utusan Malaysia

Pemuda dicekup ketika leka bungkus air ketum

KEADAAN lokasi tapak perkhemahan di belakang sebuah rumah yang dijadikan ‘pot’ memproses ketum diserbu polis dalam operasi dilaksanakan sekitar Kampung Guar, Bukit Keteri, Perlis semalam. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang dipercayai mengambil upah membungkus air ketum ditahan dalam serbuan di satu tapak perkhemahan dalam hutan belakang sebuah rumah sekitar Kampung Guar, Bukit Keteri, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, menerusi serbuan pada pukul 12.30 tengah hari itu, suspek berkenaan dikenal pasti sedang membungkus air ketum dalam khemah tersebut yang beroperasi sejak dua bulan lalu.

ANTARA barangan yang dirampas polis dalam operasi di tapak perkhemahan di belakang sebuah rumah sekitar Kampung Guar, Bukit Keteri, Perlis, semalam. -UTUSAN

Mohd Shokri berkata, suspek yang menyedari kehadiran polis cuba untuk melarikan diri, namun, berjaya ditangkap beberapa meter dari lokasi kejadian.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Susulan tangkapan berkenaan, Mohd Shokri berkata, pihaknya turut merampas lima botol ubat batuk, satu periuk aluminium berisi air ketum, tiga bekas plastik biru berisi cecair ketum dan beberapa barangan lain dengan anggaran bernilai RM3,270.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Polis juga sedang berusaha mengesan pemilik cecair daun ketum itu bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shokri turut memberi amaran mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan daun ketum.

Tambahnya, tindakan tegas boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada ke atas pihak yang terlibat dalam kegiatan berkenaan.

“Polis Padang Besar akan terus kekal fokus bagi mengambil tindakan dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terpelihara,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya