PETALING JAYA: Pemegang saham minoriti bagi syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, ILB Group Bhd. (ILB) mengambil tindakan mahkamah terhadap syarikat tersebut bagi menghalang ahli lembaga pengarah daripada melakukan tindakan yang boleh menindas mereka.
BT Investment Capital Limited dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengambil tindakan tersebut susulan pengumuman ILB untuk membiayai sepenuhnya cadangan pengambilalihan sembilan bidang tanah komersial dengan lot kedai bernilai RM15.9 juta di Seksyen 19, Petaling Jaya dengan menerbitkan 37.78 juta saham biasa baharu.
Katanya, cadangan terbitan saham baharu tersebut akan memperbesarkan bilangan terbitan saham kepada 232.80 juta daripada 195.02 juta ketika ini.
“Langkah ini akan mencairkan pegangan saham sedia ada dan tidak mewujudkan nilai bagi pemegang saham kerana pendapatan sesaham ILB dan sebarang dividen, hak, peruntukan atau pengagihan lain yang mungkin diisytiharkan oleh ILB akan terjejas secara negatif.
“Kesan pencairan ini telah diumumkan oleh lembaga pengarah pada 15 Julai lalu di Bursa Securities. Pada masa yang sama, urus niaga yang dicadangkan akan mewujudkan pemegang saham tunggal terbesar baharu iaitu penjual lot komersial itu, Impian Nuri Sdn. Bhd. yang akan mempunyai 16.67 peratus pegangan dalam ILB.
“Cadangan 37.78 juta saham baharu adalah bersamaan dengan 19.37 peratus daripada asas saham semasa ILB, hanya di bawah 20 peratus Mandat Am,” katanya.
Menurut BT Investment Capital Limited, ILB dilihat tidak perlu menjana tunai berdasarkan apa yang ditunjukkan dalam laporan kewangan tahunan berakhir 31 Disember 2021 yang mencatatkan tunai dan baki bank sebanyak RM86.03 juta.
“ILB meletakkan dirinya sebagai aktif dalam perniagaan tenaga boleh diperbaharui solar berikutan pelupusan kebanyakan operasi pergudangan dan logistik kumpulan sejak beberapa tahun lalu.
“Kumpulan menyatakan pelan strategik untuk menjana pendapatan mampan (pendapatan sewa) sebagai alasan untuk mengambil alih tanah komersial tersebut, satu langkah yang tidak konsisten dengan fokus perniagaan terasnya,” ujarnya.
BT Investment Capital Limited kini mempunyai 11.2 peratus pegangan dalam ILB dalam cadangan pengambilalihan tersebut boleh mencairkan sahamnya kepada 9.33 peratus.
Defendan yang dinamakan dalam tuntutan tersebut adalah ahli lembaga pengarah yang melibatkan Tee Tuan Sem, Datuk Karownakaran @ Karunakaran Ramasamy, Makoto Takahashi, Wan Azfar bin Dato’ Wan Annuar, Datuk Wan Hashim Wan Jusoh, Soh Eng Hooi dan Jamilah binti Kamal serta penjual tanah, Impian Nuri Sdn Bhd dan juga ILB Group Berhad. – UTUSAN