SEREMBAN: Seorang pembantu penguat kuasa Majlis Daerah Rembau negeri ini dipenjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada peniaga-peniaga kedai vape.
Hakim, Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas Norhisham Saharuddin yang membuat pengakuan bersalah.
Mahkamah turut menetapkan tertuduh dipenjara 14 hari bermula dari tarikh tangkapan pada 24 Ogos, dan jika tidak membayar denda tersebut boleh dipenjara empat bulan.
Mengikut pertuduhan, Norhisham yang bekerja sebagai kakitangan penguat kuasa tempatan (PBT) meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM1,050 daripada peniaga-peniaga kedai vape sekitar daerah itu.
Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang iaitu mengeluarkan saman kepada pemilik kedai atas kesalahan berniaga tanpa lesen.
Kesalahan itu dilakukan di sekitar Rembau antara tahun 2020 sehingga 2022.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.- UTUSAN