JOHOR BAHRU: Seorang kakitangan Jabatan Laut Malaysia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM670.51, dua tahun lalu.
Tertuduh, Hazreen Mohd., 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Bagi pertuduhan pertama, Hazreen yang bertugas sebagai Pembantu Laut Gred 22 didakwa membuat tuntutan bayaran bekerja lebih masa sebanyak RM359.41 bagi tugasan penjagaan Rumah Api Bukit Segenting, Batu Pahat pada bulan April 2020, sedangkan tertuduh tidak melakukan tugasan tersebut.
Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membuat tuntutan elaun perjalanan palsu berjumlah RM311.10 pada bulan April 2020 bagi tugasan sama sedangkan tidak melakukan tugasan itu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Dalam rayuan jaminannya, tertuduh yang berkhidmat selama sembilan tahun dalam agensi berkenaan memberitahu turut menanggung isteri, tiga anak dan ibu yang sudah uzur.
“Saya turut menanggung hutang arwah ayah yang sudah meninggal dunia pada Mei lalu. Saya juga kini digantung tugas dan hanya menerima separuh gaji.
“Oleh itu, saya memohon mahkamah memberikan jaminan berjumlah RM2,000, kerana hanya itu yang saya mampu,” katanya yang tidak diwakili peguam.
Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan tertuduh diberi jamin berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan, selain pasport antarabangsa perlu diserah kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 29 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan turut meminta tertuduh melantik seorang peguam untuk mewakili semasa perbicaraan.
Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin. –UTUSAN