NIBONG TEBAL: Sebanyak 20 kompaun bernilai RM40,000 dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang kepada pemilik premis memproses hampas kelapa sawit di sini, semalam.
Kompaun itu dikeluarkan selepas premis terbabit didapati bersalah menyebabkan dan membenarkan pembakaran terbuka hampas batang sawit berlaku dalam kawasan premis mereka.
Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 29A(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu berkaitan kesalahan melakukan pembakaran terbuka serta beberapa ketidakpatuhan pengurusan buangan terjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
Katanya, siasatan mendapati, kebakaran itu sudah bermula sejak 12 tengahari semalam, namun, hanya dimaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri kira-kira pukul 3.53 petang hari yang sama selepas keadaan tidak dapat dikawal.
“Kita menerima maklumat daripada JBPM tentang kejadian ini dan difahamkan kebakaran seperti ini kerap berlaku sebelum ini.
“Justeru, kita ke lapangan bagi tujuan siasatan terhadap premis, kerja-kerja pengawasan kualiti udara serta penerbangan ‘drone thermal’ bagi tujuan pengesanan dan pemetaan (mapping) titik panas bagi membantu usaha pemadaman oleh pihak bomba,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehingga kini, kata beliau, keadaan adalah terkawal dan kerja-kerja pemadaman serta pencegahan perebakan api seperti membuat ‘fire break’ masih dijalankan oleh JBPM.
“Berdasarkan laporan Sistem Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) bagi stesen pemantauan Indeks Kualiti Udara Seberang Perai menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat sehingga 95.
“Bagaimanapun, ia beransur turun ke 85 pada pukul 6 petang selepas usaha pemadaman dilakukan.
“Dalam keadaan IPU pada tahap sederhana ini, semua pihak diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja,” ujarnya.
Tambah Sharifah Zakiah, kemas kini sehingga hari ini juga menunjukkan Pulau Pinang tidak menerima hujan selama sembilan hari seperti yang direkodkan oleh Stesen Meteorologi TUDM Butterworth.
“Oleh itu, kebakaran yang berlaku di premis ini sedikit sebanyak menyumbang kepada penurunan kualiti udara sekitar Nibong Tebal.
“Pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 29A (2) atau 29B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan kompaun sehingga RM2,000 bagi setiap kesalahan, denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. –UTUSAN ONLINE