BALING: Tindakan pantas seorang pemandu kereta memaklumkan terdapat percikan api di belakang sebuah bas yang diekorinya berjaya menyelamatkan seorang pemandu dan sembilan penumpang daripada kebakaran, petang ini.
Kejadian berhampiran pusat timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Ketil itu berlaku semasa bas dipandu seorang lelaki berumur 56 tahun membawa lima penumpang perempuan dan empat penumpang lelaki dari Sungai Petani ke Baling.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Nordin Arshad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS999 pada pukul 4.11 petang.
“Sebaik tiba di lokasi didapati sebuah bas sedang terbakar hampir 90 peratus. Kerja-kerja pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran salur bantu mula air daripada tangki sebuah jentera dan sebuah lagi jentera Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Ketil,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Nordin, dengan kekuatan seorang pegawai dan tujuh anggota bomba, api berjaya dipadamkan secara keseluruhannya pada pukul 5.20 petang.
Katanya, siasatan mendapati percikan api mula kelihatan di bahagian belakang bas itu yang menempatkan enjin kenderaan berat terbabit.
“Kejadian disedari seorang pemandu kereta yang sedang mengekori bas itu sebelum bertindak memintas kenderaan itu untuk memaklumkan kepada pemandu bas.
“Selepas melihat kepulan asap melalui cermin sisinya, pemandu itu segera menghentikan bas dan mengarahkan semua penumpang turun menyelamatkan diri,” katanya. –UTUSAN