BALING: Dua wanita ditahan manakala seorang lagi dikesan bagi membantu sasatan berkaitan kes penipuan pelaburan membabitkan kerugian berjumlah RM1.2 juta.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, dua suspek itu ditahan bagi siasatan berkaitan dakwaan penipuan pelaburan wang ‘Savingbywaniey’ atau Free Cash (FC).
Menurut beliau, bagi skim pelaburan tersebut, sebanyak 33 aduan dibuat oleh mangsa yang semuanya dari daerah lain selepas mendakwa mengalami kerugian.
“Kedua-dua suspek berusia 30 tahun. Seorang direman pagi ini, manakala seorang lagi dijamin semalam kerana sarat mengandung dan dijangka bersalin pada awal September,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, polis kini mencari Norsyazwany A.Rahim 23, beralamat di Kampung Landak Hilir, Kupang bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tersebut.
Shamsudin bekata, dalam kejadian awal bulan Jun lalu, pengadu seorang pembantu kedai berusia 30 tahun tertarik dengan satu iklan di laman sosial ‘Facebook’ atas nama ‘Eypolwaniey’ mengenai skim pelaburan.
Pengadu tanpa berfikir panjang bersetuju menyertai pelaburan yang ditawarkan dengan modal sebanyak RM6,000 sebelum dijanjikan akan mendapat pulangan RM12,000 dalam tempoh dua bulan.
Kata beliau, pengadu kemudian membuat satu transaksi secara dalam talian sebanyak RM6,000 ke satu akaun yang diberikan suspek.
“Pengadu kemudian bersetuju untuk menambahkan lagi modal pelaburannya dengan modal RM4,000 dan RM2,000, dan dijanjikan akan memperoleh keuntungan sebanyak RM8,000 pada 25 Ogos dan RM5,000 pada 25 Oktober ini,” kata beliau.
Shamsudin memberitahu, pengadu seterusnya telah membuat dua lagi transaksi pada 9 Ogos dan 14 Ogos sebanyak RM4,000 dan RM2,000 ke akaun sama.
Bagaimanapun, katanya, pada 15 Ogos, pengadu mendapati modal dan keuntungan yang dijanjikan tidak dikreditkan ke dalam akaun mangsa selain ketiga-tiga individu terbabit menghilangkan diri.
Susulan itu, menurut beliau, polis yang menjalankan siasatan melakukan dua tangkapan ke atas dua wanita Malaysia untuk membantu siasatan manakala seorang lagi dicari bagi membantu siasatan. – UTUSAN