Peguam Kanan UK (QC) fail rayuan Najib - Utusan Malaysia

Peguam Kanan UK (QC) fail rayuan Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ‘Drama’ kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak bersambung apabila peguam kanan (QC) United Kingdom, Jonathan James Laidlaw memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya untuk menjadi peguam bekas Perdana Menteri itu.

Notis rayuan tersebut difailkan Laidlaw melalui firma guaman, Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Persekutuan pada 22 Ogos lalu.

Perkara tersebut disahkan peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika dihubungi media petang ini.

Menurut notis rayuan yang diperoleh media lewat petang ini, pemohon (Laidlaw) merayu terhadap keseluruhan keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid yang dibuat pada 21 Julai lalu.

Rayuan tersebut difailkan mengikut Seksyen 19 Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Pada 21 Julai lalu, Hakim Ahmad Kamal menolak permohonan Laidlaw untuk diterima masuk sebagai peguam Najib atas alasan QC itu gagal menunjukkan bahawa beliau mempunyai pengalaman dalam mengendalikan rayuan atau kes-kes sama seperti yang dihadapi oleh Ahli Parlimen Pekan itu.

“Adalah tidak dinafikan bahawa pemohon merupakan antara QC terbaik dalam bidang jenayah kewangan. Tetapi, bagi saya, perkara itu tidak mencukupi untuk menyatakan bahawa pemohon mempunyai kemahiran khas, kepakaran, kelayakan dan pengetahuan berhubung Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ASPRM).

“Saya mendapati tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa pemohon mempunyai pengetahuan mahupun pengalaman dalam undang-undang negara ini berbanding peguam cara dan peguam bela tempatan. Pemohon juga tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam memberikan nasihat perundangan atau khidmat perundangan pakar dalam negara ini.

“Hanya kerana fakta menunjukkan bahawa pemohon pernah mengendalikan beberapa kes jenayah perniagaan dan kewangan, pembelaan jenayah, inkues dan inkuiri awam, kawal selia jenayah dan beberapa bidang lagi di United Kingdom dan beberapa tempat lain selain Malaysia, maka, tidak boleh dikatakan bahawa tiada peguam di negara ini yang mempunyai kemahiran dan kejayaan dalam mengendalikan pertuduhan-pertuduhan di bahawa Akta ASPRM,”kata hakim itu ketika menyampaikan penghakimannya secara dalam talian.

Hakim Ahmad Kamal turut menyatakan, Laidlaw juga gagal menunjukkan bahawa beliau mempunyai kelayakan khas atau pengalaman dalam mengendalikan rayuan atau kes-kes sepertimana yang dihadapi oleh Najib.

Pada 1 Jun lalu, Laidlaw melalui notis usul yang difailkan oleh firma guaman, Tetuan Shafee & Co. memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini agar beliau diterima masuk sebagai peguam bela Najib dalam rayuan akhir bekas Presiden UMNO itu membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya