PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyarankan agar semua Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) tidak dipindahkan daripada tempat kerja masing-masing.
Syor tersebut disuarakan Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Idris Zaharuddin bagi memastikan pembudayaan integriti diserap kepada rakan dalam organisasi.
“Saya justeru mencadangkan supaya CeIO ini dikekal di agensi atau jabatan mereka untuk selama tempoh dua tahun bagi mengaplikasikan ilmu dipelajari kepada petugas lain,” katanya selepas hadir menyaksikan Perasmian Penutupan Program CeIO Siri 31 Bilangan 3 yang melibatkan 57 peserta dari pelbagai perjawatan Kementerian Pendidikan di sini hari ini.
CeIO diwujudkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi latihan pengawalseliaan sistematik untuk pegawai awam dan swasta di seluruh negara sejak 2009.
Para peserta didedahkan dengan pelbagai modul berkaitan pengurusan integriti, perundangan, pematuhan, pemantauan dan risiko rasuah selain pembelajaran luar kelas serta seminar.
Sehingga kini, SPRM berjaya melahirkan sejumlah 2,032 individu ditauliahkan sebagai CeIO dengan seramai 1,328 orang daripadanya merupakan penjawat awam dari pelbagai agensi.
Mengulas lanjut, Idris mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan kerana muncul sebagai kementerian pertama menganjurkan program itu yang berakhir pada 5 Ogos lalu.
“Setakat ini, secara keseluruhan, 647 pegawai kerajaan akan lengkap bagi menerima tauliah mereka pada Oktober depan termasuk 316 orang yang dilatih sepanjang tahun ini,” katanya.
Justeru, beliau mengharapkan supaya kementerian-kementerian lain dapat mengikut contoh Kementerian Pendidikan bagi memperkukuhkan budaya integriti dalam pentadbiran awam.
Beliau turut memuji kementerian tersebut kerana berjaya melaksanakan 100 peratus kesemua lima inisiatif yang dipertanggungjawabkan menerusi Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023.
Ia ujar beliau, ternyata mampu memberi fokus kepada pembangunan modal insan melalui pengukuhan nilai yang diharapkan dapat dihayati lebih 416,366 guru dan lebih lima juta murid.
Tambahan pula, katanya, kementerian itu antara yang memperoleh peruntukan tertinggi setiap tahun dalam bajet negara dan menerima penarafan tinggi untuk tahap risiko korupsi awam.
Sehubungan itu, tegas Idris, pengurusan ekosistem dan tadbir urus yang baik adalah penting tanpa berlaku sebarang ketirisan sehingga boleh menjejaskan sistem pendidikan nasional. –UTUSAN ONLINE