Pas Selangor sasar satu lawan satu - Utusan Malaysia

Pas Selangor sasar satu lawan satu

Roslan Shahir Mohd. Shahir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pas Selangor menyasarkan pertembungan satu lawan satu bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini dan yakin dengan agenda penyatuan ummah untuk mengambil alih kerajaan negeri.

Setiausaha Perhubungannya, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, segala usaha sedang dijalankan bagi menjalin permuafakatan bersama rakan-rakan parti dengan fokus menumbangkan PH.

“Selangor membuktikan bahawa agenda penyatuan ummah berjaya menumbangkan pakatan itu seperti di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih apabila Pas dan Barisan Nasional (BN) bergabung menghadapi satu lawan satu .

“Justeru, tidak mustahil tempoh kerajaan PH akan tamat PRU15 jika agenda seumpama ini diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Roslan Shahir memaklumkan Pas negeri turut terus menerima jumlah keahlian baharu bulanan yang dilihat memberangsangkan dan tidak terhad di kawasan majoriti Melayu semata-mata seperti Subang, Kota Raja dan Damansara.

“Sejak pelancaran kempen Pas Pilihanku 4.0 pada 25 Jun lalu, kesemua 22 kawasan Pas seluruh Selangor menerima permohonan keahlian baharu yang luar biasa. Pada Julai lalu, parti menerima sebanyak 1,205 permohonan dan 500 lagi sudah diterima setakat pertengahan bulan ini.

“Justeru, peningkatan mendadak keahlian itu dianggap indikator penerimaan rakyat terutama umat Islam terhadap agenda dan perjuangan Pas. Pada Ahad ini, Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Hashim Jasin turut akan melancarkan kempen Pas Pilihanku 4.0 peringkat negeri di Sungai Besar,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN