KOTA BHARU: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari membidas tindakan sesetengah pihak yang mendakwa Pas menjadi ‘bisu’ setiap kali isu melibatkan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dibangkitkan di Dewan Rakyat, sebaliknya lebih ‘berselera’ membahaskan perkara melibatkan kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Ahmad Fadhli menegaskan, Pas tidak bekerja untuk menyebarkan persepsi dan fakta yang tidak jelas, sebaliknya menuntut supaya setiap kes-kes disiasat secara adil, telus dan mempunyai punca kuasa yang jelas.
“Apabila ia didakwa di mahkamah, serahkan kepada mahkamah. Seseorang yang belum didapati bersalah tidak boleh dikatakan bersalah, itu prinsip.
“Untuk rekod, saya pernah bangkitkan di Dewan Rakyat berhubung isu pembelian banglo bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada Ogos 2020 sebagaimana dilaporkan oleh Utusan Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya hari ini.
Ketua Pemuda Pas itu memberitahu, beliau pernah mempertikaikan kenyataan Lim Guan Eng pada 2018 semasa Ahli Parlimen Bagan dari DAP itu menjadi Menteri Kewangan berhubung faktanya mengatakan Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangan.
Katanya, terbaru, dua minggu lalu semasa sidang Dewan Rakyat, Guang Eng bangkit mempertikaikan kenyataan Menteri Agama dalam isu Octoberfest dan Bon Odori, dia turut mengajukan soalan tambahan.
“Pada masa yang sama, saya membantah fakta yang dibawa oleh Bagan. Ini belum mengambil kira perbahasan yang menyentuh isu-isu lain melibatkan pimpinan PH dan juga perbahasan ahli-ahli Parlimen Pas yang lain di Dewan Rakyat yang sentiasa menyentuh isu-isu integriti.
“Hairan jugalah saya, kenapa pengikut-pengikut parti tertentu sangat ‘trigger’ dengan isu-isu yang melibatkan duit rakyat ini?. Adakah apabila dibangkitkan isu-isu seperti ini, secara automatik pemimpin parti mereka akan dianggap terlibat? Kenapa begitu?,” soalnya.
Ahmad Fadhli berkata, dalam isu kapal tempur pesisir pantai (LCS), Pas meminta siasatan yang adil dan membawa isu tersebut ke mahkamah jika ada bukti penyelewengan.
“Tidak timbul lagi nama-nama tokoh tertentu yang didakwa bertanggungjawab. Jika ada pihak lain bangkitkan, jangan dikaitkan dengan Pas kononnya kami (Pas) turut sama memfitnah.
“Atau adakah kerana Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) adalah Ahli Parlimen DAP, maka, secara sendirinya ia dianggap fitnah? Sudah tentu ia satu kesimpulan yang sangat tidak adil.
“Siasatlah dulu. Secara logiknya, mana mungkin perjanjian berat sebelah mengakibatkan RM6 billion duit rakyat ini dirangka dengan begitu sekali longgar jika tiada pihak membuat keuntungan?,” soalnya lagi.
Ahmad Fadli berkata, dalam isu-isu integriti, Pas perlu bercakap untuk semua isu.
“Barangkali anda tidak sempat mendesak pemimpin anda sendiri, atau mereka sedang sibuk ‘mengambil mana-mana yang sempat’ sehingga tidak sempat bercakap di Dewan Rakyat? Saya hanya sekadar bertanya,” katanya. –UTUSAN ONLINE