KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat kemunculan pertamanya di Kompleks Mahkamah di sini selepas dua hari menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang esok.
Kemunculannya itu adalah bagi menghadiri perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Sementara itu, salah seorang kakitangan mahkamah memberitahu, pihak mahkamah turut membuat persedian bagi `menyambut’ kedatangan Ahli Parlimen Pekan itu, esok.
Pada Jumaat ini, Najib sekali lagi akan dibawa daripada penjara ke Mahkamah Tinggi di sini bagi menghadiri perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB bagi mengelakkan dirinya dikenakan tindakan undang-undang.
Turut didakwa bersubahat dengan Najib bagi pertuduhan itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
Selain kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. dan penyelewengan dana 1MDB serta kes membabitkan laporan audit 1MDB, Najib masih mempunyai dua lagi kes yang masih belum berjalan.
Kes tersebut ialah kes pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dan kes membabitkan Najib dan bekas Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang didakwa atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion. –UTUSAN ONLINE