Muat turun aplikasi di telefon bimbit mampu jerat pengguna -

Muat turun aplikasi di telefon bimbit mampu jerat pengguna

Awas aplikasi WhatsAps dan Telegam boleh digodam.– GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak RM54.37 juta wang simpanan bank lesap gara-gara terpaut dengan iklan dalam aplikasi tidak sah yang dimuat turun pengguna di telefon bimbit.

Nilai kerugian itu direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2020 sehingga Julai lalu selepas menerima 1,583 kes kehilangan wang di dalam akaun bank.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, daripada jumlah itu, kes kehilangan tertinggi dilaporkan adalah pada tahun lalu iaitu melibatkan 589 kes dengan nilai kerugian RM18.49 juta.

Malah, penipuan ini dilihat tidak berkesudahan dan semakin berleluasa apabila 505 kes direkodkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini dengan kerugian bernilai RM17.49 juta.

Kata sumber, bagi 2020 sebanyak 489 kes dengan nilai kerugian RM18.37 juta dicatatkan sekali gus menunjukkan sindiket penipuan kini dilihat semakin kreatif apabila tidak lagi menyamar sebagai penjawat awam.

Menjelaskan perkara itu, sumber berkata, modus operandi digunakan mereka ini adalah dengan menghantar link-link aplikasi penjualan barang atau perkhidmatan tertentu di telefon bimbit pengguna sebelum mengodam butiran perbankan dan kemudiannya akan memindahkan wang dari akaun milik mangsa.

“Sindiket-sindiket ini akan menawarkan apa sahaja iklan dalam laman sosial mahupun dihantar secara rawak di dalam aplikasi WhatsApp bagi menjerat lebih ramai mangsa.

“Mangsa yang berminat dengan tawaran itu kemudian akan memuat turun pautan fail aplikasi yang dihantar sindiket di dalam telefon pintar mereka sebelum aplikasi itu akan menggantikan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) sedia ada sebelum mangsa akan diarahkan untuk mendaftar sebelum diberikan akses bagi menggunakan aplikasi itu,” katanya di sini hari ini.

Sumber itu berkata, bagi mendaftar mangsa perlu memasukkan nama, nombor kad pengenalan, e-mel, butiran kad kredit dan perbankan dalam talian.

“Sebaik maklumat diisi, pengguna akan mendapat paparan kesilapan muka surat atau ‘page error’ setelah semua maklumat dimasukkan kerana aplikasi ini tidak dipautkan kepada sistem perbankan tulen.

“Hakikatnya, aplikasi dan proses ‘pendaftaran’ yang dibuat hanya semata-mata untuk mendapatkan akses kandungan SMS serta butiran perbankan yang kemudiannya akan digunakan untuk memindahkan wang dari akaun mangsa,” jelasnya.

Jelas sumber itu, kebanyakan pengguna menganggap maklumat peribadi diberi seperti nama ibu, tarikh perkahwinan serta nama haiwan kesayangan tidak menjejaskan privasi sedangkan itu antara kata kunci maklumat mereka yang dicuri.

Jelas sumber itu, ini kerana telefon pintar dilengkapi dengan aplikasi mengenai maklumat peribadi individu seperti alamat tempat tinggal, tarikh lahir dan transaksi kewangan.

“Maklumat itu boleh dikumpul oleh aplikasi dan ia dijual kepada pihak lain, risiko maklumat identiti dipalsukan, mencuri data atau mengakses akaun bank,” jelasnya.

Dalam pada itu, sumber itu berkata, pengguna sepatutnya lebih lebih berhati-hati tanpa memuat turun sebarang aplikasi sesuka hati dan tidak memberi maklumat peribadi.

Kata beliau, pengguna sepatutnya perlu membaca dan memahami perjanjian pelesenan keseluruhan dan dasar privasi bagi aplikasi sebelum memuat turun bagi mengelak dieksploitasi pihak lain.

“Jangan terpedaya dengan aplikasi yang berselindung dengan menggunakan syarikat-syarikat tertentu.

“Ada kes yang dilaporkan, mangsa memberitahu mereka tidak pernah mendedahkan maklumat kepada pihak ketiga tetapi apabila disiasat terdapat aplikasi-aplikasi tidak sah yang dimuat turun di dalam telefon bimbit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya