KUALA LUMPUR : Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata, pelbagai isu yang dibincang dalam mesyuarat tergempar hari ini dan ia akan disambung pada jam 5.30 petang nanti.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur.
“Banyak isu semasa, belum selesai, nanti kembali lagi 5.30 petang,” katanya ringkas.
Difahamkan, mesyuarat itu disambung setelah selesai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri perbicaraan kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi pada jam 2.30 petang ini.
Terdahulu, dilaporkan satu perjumpaan tergempar khas antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua-ketua bahagian kini sedang berlangsung di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur.
Jemputan yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyebut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta agar Ketua-ketua UMNO Bahagian hadir ke satu pertemuan khas.
Jemputan itu ditegaskan sebagai pertemuan segera dan mustahak.
Difahamkan setakat ini, 140 bahagian yang hadir dalam mesyuarat tersebut, sementara 50 bahagian lagi tidak hadir. –UTUSAN ONLINE