Menteri Besar Perlis sah bercerai - Utusan Malaysia

Menteri Besar Perlis sah bercerai

SOVA Ali (tengah) bersama peguamnya meninggalkan mahkamah selepas membuat pengesahan penceraian bersama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini hari ini. -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini hari ini mengesahkan lafaz cerai yang dibuat oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man terhadap isterinya, Sova Ali, pada April lalu. 

Menurut peguam syarie, Nurul Atikah Abd. Rashid mewakili Azlan, 63, Hakim Syarie Abdullah Zuhdee Ab. Halim mengesahkan pasangan itu bercerai dengan talak satu pada prosiding yang dijalankan secara tertutup. 

Tambahnya, pengesahan lafaz cerai itu dibuat berdasarkan Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. 

“Siasatan lafaz cerai telah pun dibuat dan disahkan di mahkamah hari ini. Berkenaan hal-hal tuntutan terhadap defendan (Azlan), pihak kami hanya bersedia sahaja sekiranya ada tuntutan daripada plaintif, kalau ada, tiada masalah. Terpulang pada pihak sebelah sana. 

“Punca perceraian tidak didedahkan kerana perkara ini sensitif, dibimbangi mengaibkan, cuma sudah lafaz cerai dan disahkan oleh mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas tamat prosiding.

Terdahulu, mahkamah memutuskan bahawa prosiding pengesahan lafaz cerai itu dijalankan secara tertutup.

Sementara itu, peguam syarie, Muhammad Syafiq Ibrahim mewakili Sova, 40, selaku plaintif mengesahkan bahawa permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan anak guamnya telah disahkan oleh mahkamah.

Beliau berkata, pada ketika ini, tiada sebarang tuntutan berkaitan harta sepencarian dan beberapa tuntutan lain.

Bagaimanapun, Muhammad Syafiq tidak menolak kemungkinan bahawa anak guamnya akan membuat tuntutan sekiranya perlu.

Berhubung idah, peguam itu menyatakan, mahkamah memutusakan bahawa Sova perlu menjalani idah sebanyak tiga kali suci bermula April lalu. Ini bermakna, wanita itu telah tamat tempoh idahnya.

Pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah itu sepatutnya berlangsung pada 4 Julai lalu namun ditangguhkan kerana Azlan tidak hadir pada tarikh tersebut. Saman itu difailkan di sini kerana Sova bermastautin di Bangi. 

Pasangan itu berkahwin pada 21 Mac 2010 dan perkahwinan didaftarkan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPS). Azlan melafazkan cerai terhadap Sova pada 23 April 2022 di Jakarta, Indonesia..

Mereka tidak dikurniakan cahaya mata sepanjang 12 tahun mendirikan rumah tangga. 

Sementara itu, Sova ketika ditemui berkata, beliau diceraikan oleh bekas suami di hadapan ibunya.

“Saya diceraikan sejurus balik daripada umrah dan bekas suami cakap ada ‘kejutan’ selepas balik dari Arab Saudi. Rupa-rupanya lafaz cerai,” katanya.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN