BUTTERWORTH: Pasukan Tangkapan Haiwan Merayau Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berjaya menangkap dua ekor lembu yang berkeliaran berhampiran stesen minyak Caltex, Jalan Baru, Perai, di sini, petang semalam.
Tangkapan kira-kira pukul 4 petang itu dibuat demi kepentingan awam susulan satu operasi pemantauan rutin yang dijalankan.
Menurut Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad, kehadiran haiwan-haiwan itu khususnya dalam situasi kesesakan jalan raya utama berisiko mengakibatkan kemalangan selain memberikan ancaman keselamatan kepada orang awam.
“Tangkapan lembu itu dibuat serta-merta mengikut kaedah-kaedah yang temaktub dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) MBSP dan selaras dengan peruntukan di bawah Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau MPSP 1990.
“Haiwan-haiwan yang ditangkap dihantar ke Paun Simpanan Haiwan MBSP untuk penjagaan serta berada dalam keadaan sihat dan baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, laporan polis mengenai operasi tangkapan itu juga dibuat.
“Pemilik boleh membuat tuntutan semula haiwan-haiwan ini mengikut prosedur-prosedur tuntutan semula seperti yang ditetapkan.
“Dalam hal ini, MBSP menasihatkan semua pemilik haiwan ternakan khususnya di Seberang Perai memastikan haiwan ternakan mereka dipelihara dengan baik dan tidak dibiarkan merayau sehingga menimbulkan kacau ganggu serta mengancam keselamatan awam,” katanya. –UTUSAN ONLINE