SHAH ALAM: Umat Islam di negeri ini perlu hadir ke masjid atau surau untuk mendengar ceramah dan kuliah selepas alat pembesar suara bahagian luar tidak dibenarkan diguna bagi tujuan tersebut.
Justeru, kegunaan pembesar suara itu dihadkan kepada laungan azan dan bacaan ayat Al-Quran dalam tempoh singkat sebelum masuk waktu solat sahaja selaras dengan arahan dikeluarkan pada 23 Oktober 2017.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, larangan perkara itu telah dikeluarkan selaras titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 16 Oktober 2017.
“Sultan Selangor dengan jelas menitahkan bahawa penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah hendaklah dihadkan di dalam ruang atau dewan masjid dan surau sahaja.
“(Manakala) pembesar suara luar hanya boleh digunakan bagi tujuan azan dan bacaan ayat-ayat Al-Quran bagi tempoh pendek sebelum azan dilaungkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd. Shahzihan, baginda memutuskan demikian supaya kemuliaan Islam sebagai cara hidup yang sempurna, dinamik serta sentiasa mementingkan kesejahteraan masyarakat seluruhnya dapat dirasai semua pihak dan seterusnya menjadi contoh teladan yang baik.
Sehubungan itu, katanya, JAIS menyambut titah Sultan Sharafuddin dengan mengeluarkan arahan kepada pentadbir masjid dan surau seluruh negeri bahawa penggunaan pembesar suara luar untuk ceramah dan kuliah tidak dibenarkan pada 23 Oktober 2017.
“Justeru itu, siasatan lanjut telah dibuat (berhubung isu seorang lelaki mengamuk kerana sebuah surau di rumahnya di Ampang Campuran membuka pembesar suara luar semasa program kuliah subuh) mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor No.9 Tahun 1995 kerana disyaki berlakunya satu perbuatan melanggar titah Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam di negeri ini,” tegasnya.
Baru-baru ini, beberapa portal berita tempatan melaporkan, polis menahan seorang lelaki yang telah menganggu sesi kuliah subuh di sebuah surau di Ampang Campuran, Ampang, pada minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata, suspek ditahan kerana merampas mikrofon ketika seorang penceramah jemputan sedang memberikan kuliah sambil mendakwa bunyi pembesar suara surau itu menganggunya. –UTUSAN ONLINE