PETALING JAYA: Belum dua tahun dimansuhkan, namun, semakin ramai ibu bapa menuntut agar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dikembalikan dalam sistem pendidikan negara.
Rata-ratanya mendakwa Kementerian Pendidikan masih belum bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai pendekatan tunggal kepada sistem penilaian di sekolah.
Hal itu disebabkan tiga prasyarat utama PBD masih belum dipenuhi hingga kini sekali gus menambah keresahan ibu bapa terhadap keberkesanan pendekatan baharu tersebut.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, tiga prasyarat itu ialah bilangan murid yang ideal antara 20 hingga 25 orang di dalam kelas bagi memudahkan guru memantau dan menilai setiap individu dengan tepat serta baik.
Katanya, langkah itu penting memandangkan purata jumlah murid di dalam kelas ketika ini masih lagi tinggi antara 35 hingga 45 orang sekali gus menyulitkan para guru untuk menjalankan pemerhatian dan bimbingan.
Menurutnya, prasyarat kedua ialah sukatan pelajaran yang tidak terlalu padat bagi memberi laluan kepada pelbagai aktiviti di dalam kelas manakala ketiga pula, guru perlu diberikan autonomi sepenuhnya untuk mentaksir murid.
“Kalangan negara yang mempunyai kualiti pendidikan baik seperti di Shanghai pun masih tidak melaksanakan PBD kerana sedar mereka belum bersedia ke arah itu berikutan bilangan murid yang ramai.
“Jika PBD tidak dilaksanakan secara berkesan, apa lagi kayu ukur untuk mengukur kebolehan, keupayaan dan kemajuan pelajar? Ini tentunya akan merugikan negara kerana kita sudah memansuhkan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3),” katanya di sini hari ini.
Pada 28 April tahun lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan UPSR dimansuhkan sepenuhnya manakala PT3 untuk tahun sama dibatalkan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, selaras pemansuhan UPSR dan pembatalan PT3 itu, maka pihaknya akan melaksanakan PBD untuk mengukur pencapaian murid dan pelajar terlibat.
UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.
Sementara itu, Anuar berharap kementerian dapat meneliti kewajaran untuk melaksanakan semula peperiksaan berpusat bagi memastikan tahap minimum murid dapat dicapai di paras tertentu.
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan murid di usia tertentu berjaya melepasi tahap minimum membaca, menulis dan mengira dengan baik sama ada dalam bahasa Melayu mahu pun Inggeris.
“Itulah tujuan peperiksaan berpusat diadakan kerana kita bimbang jika ada pelajar yang tidak mencapai tahap minimum,” katanya. –UTUSAN ONLINE