PETALING JAYA: Penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azimah Omar membuktikan bahawa Tan Sri Mohamed Apandi Ali gagal melaksanakan tugasnya sebagai Peguam Negara.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, berdasarkan penghakiman 100 muka surat itu bagi kes saman fitnah Apandi terhadap Lim Kit Siang, mahkamah mendapati kenyataan Kit Siang terhadap Apandi bukanlah satu fitnah.
“Jika kita teliti penghakiman yang dibuat oleh Hakim Azimah, amat jelas Apandi gagal melaksanakan tugas sebagai Peguam Negara, malah, disyaki terbabit dan bersubahat di dalam skandal 1MDB.
“Banyak lagi bukti yang ditulis oleh Hakim Azimah dalam penghakimannya sebagai asas menolak saman fitnah Apandi terhadap Kit Siang,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, beliau menyifatkan, Peguam Negara, Tan Sri Idrus tidak seharusnya tunduk kepada saman Apandi dan bersetuju membuat penyelesaian dan memberi pampasan.
“Saya merasa sangat kecewa dengan keputusan Peguam Negara yang bersetuju membuat penyelesaian dengan Apandi yang menyaman saya dan kerajaan kerana memecatnya pada 2018.
“Sebaliknya, selain menentang Apandi di mahkamah, Idrus perlu memulakan penyiasatan terhadap Apandi kerana pembabitannya di dalam mempertahan dan bersubahat di dalam skandal 1MDB.
“Kerajaan Malaysia juga harus malu melantik Apandi yang begitu tercemar dan terhina, untuk mempengerusi apa-apa badan kerajaan, termasuklah jawatan kuasa siasatan isu Pulau Batu Puteh,” katanya. –UTUSAN ONLINE