Lebih 10 tahun remaja derita sakit buah pinggang -

Lebih 10 tahun remaja derita sakit buah pinggang

MOHD. FADLY Zakaria (kanan) dan Rosniza Hussin (tengah) melihat keadaan Muhammad Farhan Mohd. Fadly yang terlantar sakit di kediaman mereka di Peringgit, Melaka akibat kegagalan buah pinggang sejak 10 tahun lalu. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hati ibu bapa mana yang tidak luluh melihat anak yang dahulunya aktif dan ceria kini terlantar sakit selepas disahkan menghidap penyakit kegagalan buah pinggang sejak 10 tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Fadly Zakaria, 43, berkata, kedua-dua buah pinggang anaknya, Muhammad Farhan Mohd. Fadly, 17, tidak lagi berfungsi dan kesihatannya semakin merosot bermula setahun lalu setelah dijangkiti Covid-19.

Katanya, penyakit tersebut dikesan semasa anak ketiganya itu berumur lapan tahun, apabila dia menunjukkan tanda-tanda seperti muka bengkak, badan semakin berisi dan perut membesar.

“Peringkat awal saya dan isteri, Rosniza Hussin, 41, tidak mengesyaki apa-apa. Selepas Muhammad Farhan dibawa untuk pemeriksaan, kami dimaklumkan bahawa buah pinggangnya sudah bocor.

“Sejak itu dia hanya bergantung kepada ubat dan menjalani rawatan susulan di tiga hospital berbeza iaitu Hospital Serdang di Selangor, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Seremban, Negeri Sembilan. Banyak bahagian badannya sudah ditebuk sehingga tidak ada tempat lagi.

“Doktor juga pernah tidurkan dia sebanyak tiga kali termasuk kami diminta menandatangani borang nazak disebabkan kegagalan jantung. Alhamdulillah, semangat anak saya masih kuat dan dia beritahu mahu sihat seperti biasa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Peringgit di sini, semalam.

Tambah Mohd. Fadly, dia yang tidak bekerja selepas terbabit kemalangan jalan raya pada Oktober 2020 kini buntu untuk mencari wang RM12,000 bagi rawatan susulan di sebuah pusat perubatan swasta di Johor.

Menurutnya, doktor mencadangkan pemasangan tapak untuk mencuci darah pada bahagian tangan dilakukan di hospital swasta, memandangkan hospital kerajaan tidak mampu melakukannya kerana salur darah anaknya yang kecil.

“Pergerakan saya terbatas kerana ada besi pada kaki. Sumber kewangan keluarga dipikul sepenuhnya oleh isteri yang bekerja sebagai pembantu tukang masak dengan pendapatan RM70 sehari dan dibayar secara mingguan.

“Kami menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sebanyak RM350 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500. Namun, sebahagian besar bantuan ini digunakan untuk keperluan anak seperti susu khas yang berharga RM12 sebotol untuk sehari serta kos rawatan,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank atas nama Mohd. Fadly Zakaria (104022886422) atau menghubungi talian 019-6105596. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya