Lambakan ayam, penternak kecil merana - Utusan Malaysia

Lambakan ayam, penternak kecil merana

NURUL Aniezah Ab. Rahman menunjukkan harga ayam yang dijualnya di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung, Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/ ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lambakan ayam dan kejatuhan harga makanan asas itu di pasaran ketika ini mengakibatkan para penternak dari negeri Kedah dan Kelantan kini merana, malah, berisiko gulung tikar terutama bagi mereka yang masih baharu dalam bidang itu.

Di Alor Setar, seorang penternak, Mazlina Kamarudin, 54, yang juga Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd., berkata, penternak mengalami kerugian sehingga RM3.50 setiap kilogram (kg) memandangkan kos menternak adalah RM7 setiap kg.

“Keadaan ketika ini menjadi semakin parah. Dahulu ayam kurang dan mahal orang berebut beli ayam, sekarang ini penternak ayam dalam keadaan kelemasan. Sudah tak tahu nak buat apa sebab orang hanya nak beli pada harga RM3.50 per kg.

“Sedangkan kos menternak ayam RM7. Ayam sekarang pun besar-besar, kalau seekor 3kg kita rugi RM10.50. Penternak hanya dapat subsidi RM1.20 untuk hanya 1.8kg iaitu RM2.16. Jadi, rugi lagi RM8. Kalau menternak sejuta ekor sebulan, berapa ruginya. Memang tersungkur dan akan gulung tikar,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Sementara itu, di Kota Bharu, jualan ayam segar di negeri ini semakin perlahan dan tidak banyak dibeli meskipun dijual di bawah harga kawalan iaitu RM7 sekilogram.

Tinjauan Utusan Malaysia di pasar Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung mendapati ayam terus banyak sekali gus menyaksikan berlaku ‘lambakan’ walaupun bahan mentah itu mempunyai berat antara 1.5 hingga 2.1 kilogram (kg).

Peniaga, Nurul Aniezah Ab. Rahman,43, berkata, situasi itu menyebabkan dia berdepan kesukaran untuk menjual bahan mentah itu meskipun bekalan mudah untuk diperoleh daripada pembekal.

“Masa ayam dijual pada harga RM10 sekilogram, saya dapat menjual sekitar 100 ekor sehari. Namun sejak bulan lepas nak habiskan jualan 30 ekor ayam sehari pun ‘sakit’.

“Bila ayam tidak laku, ia menjejaskan pendapatan dan situasi ini sangat membimbangkan kami,”katanya.

Sementara itu, tinjauan di Pasar Tasek Raja, Pasir Mas pula mendapati ayam segar dijual dengan harga RM7.50 sekilogram.

Peniaga, Kharizal Othman, 50, berkata, dia dan rakan-rakan tidak lagi berdepan masalah mendapat bekalan ketika ini kerana mudah diperoleh daripada pembekal.

“Minta 20 ekor, tapi dapat bekalan lebih. Jika mahu 100 ekor sehari pun boleh, tetapi nak jual tidak laku pula,” ujarnya.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Rohani Zakaria,53, lega apabila bekalan ayam banyak di pasaran dan harga turun mendadak.

“Sebelum ini ayam sangat mahal mencecah harga RM10 sekilogram, selepas Aidiladha baru-baru ia turun kepada harga RM7.

“Sekarang ini ia turun lagi dan jika mengambilnya dalam kuantiti banyak dapat dengan harga RM6.50 sekilogram. Harga yang murah ini amat menggembirakan saya dan peniaga kedai makan yang tidak menaikkan harga makanan biarpun ayam mahal sebelum ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya