KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menyasarkan untuk meningkatkan saiz dana kasarnya kepada RM200 bilion menjelang 2025 menerusi program tiga tahunnya yang dikenali sebagai TERAS 5.
Badan berkanun yang menguruskan skim pencen bagi pekerja awam Malaysia itu sebelum ini memiliki saiz dana berjumlah RM159 bilion bagi tahun kewangan 2021.
TERAS 5 berasaskan lima tunggak utama iaitu struktur, tadbir urus, modal insan, proses dan digital yang akan memacu lapan aliran kerja termasuk struktur organisasi, syarikat, pelaburan, sumbangan dan perkhidmatan persaraan, digital, modal insan dan budaya, perkhidmatan korporat serta risiko, tadbir urus dan pengawasan.
Lapan aliran kerja itu telah ditetapkan untuk memacu pelaksanaan 44 inisiatif, termasuk inisiatif utama yang berkaitan dengan penjajaran semula fungsi dan penstrukturan keseluruhan organisasi ke arah struktur berasaskan rantaian nilai dan penghalusan rangka kerja tadbir urus.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, TERAS 5 akan merealisasikan visi KWAP untuk meningkatkan saiz dana kasar kepada RM200 bilion dan meningkatkan jumlah aset harta daripada 17 kepada lebih 30 serta mempunyai lebih 35 subsidiari menjelang 2025.
“Kementerian yakin dengan penglibatan KWAP dalam penyelesaian jangka panjang ini, pelan seperti TERAS 5 akan memastikan organisasi ini bersedia mencapai visi baharunya untuk menjadi dana persaraan yang menyokong pembangunan negara dengan terus menyampaikan manfaat bagi ahli-ahlinya.
“Fasa seterusnya dalam perjalanan KWAP ini akan membuka ruang dan peluang bagi memajukan ekosistem dana persaraan negara dan mencipta kemampanan jangka panjang,” katanya dalam majlis pelancaran TERAS 5 KWAP, di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Nik Amlizan Mohamed berkata, KWAP telah mencapai pendapatan bersih tertinggi yang belum diaudit pada 2021 iaitu sebanyak RM10 bilion, walaupun berdepan situasi sukar pandemik Covid-19.
Ujarnya, bagi mencapai sasaran dana RM200 bilion menjelang 2025, pihaknya akan memperluas pelaburan dalam pasaran swasta iaitu ekuiti swasta, infrastruktur dan hartanah.
“Kita akan meningkatkan peruntukan aset dalam pasaran swasta yang kini hanya 10 peratus kepada 20 peratus menjelang 2025. Kita akan cuba mengimbangkan kedua-dua pasaran swasta dan awam jadi kita perlu mempunyai pengetahuan lebih mengenai pelaburan tersebut.
“Sejak 10 tahun lalu, keuntungan KWAP adalah enam peratus setiap tahun, jadi menerusi TERAS 5, kita berharap pulangan sehingga tujuh peratus untuk jangka masa panjang,” ujarnya. – UTUSAN