PUTRAJAYA: Tahap mutu udara di seluruh negara bertambah baik apabila berjaya menduduki tempat ke-62 di dunia menerusi Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) kategori kualiti udara.
Kedudukan itu ekoran pertambahan 5.10 mata yang diraih Malaysia dalam tempoh sedekad lalu, malah, lebih baik berbanding tahun lepas apabila sekadar tempat ke-62 peringkat global.
Dalam senarai 10 negara paling bersih udara, Iceland muncul juara dengan 96 mata diikuti Sweden, Finland, New Zealand, Norway, Australia, Ireland, Kanada, Switzerland dan Perancis.
Di Asia, Jepun kekal teratas dan 13 terbaik di dunia disusuli Singapura (ke-25), Korea Selatan (ke-30), Brunei (ke-32), Maldives (ke-40), Jordan (ke-46), Kuwait (ke-51) dan Taiwan (ke-53).
Malaysia pula berada di tempat kelapan manakala di peringkat rantau Asia Tenggara, kedudukan negara lebih baik daripada Thailand, Vietnam, Kemboja, Filipina, Laos dan Indonesia.
Berdasarkan analisis EPI untuk tahun ini, Malaysia memperoleh 43.7 mata berbanding rekod dicatatkan 10 tahun lalu iaitu agak signifikan dengan meningkat ke-67 paling besar di dunia.
Di peringkat global, lonjakan terbesar dicapai Estonia dengan 74.60 mata yang merupakan negara ke-20 udara terbersih sejagat disusuli Lithuania, Moldova, Rusia, Latvia dan Belarus.
Sementara di benua Asia, China merekodkan perubahan terbesar selama sedekad iaitu 20.60 mata meskipun menduduki posisi ke-157 udara terbersih daripada keseluruhan 180 negara.
Pakistan pula muncul sebagai negara yang paling buruk tahap kualiti udara diikuti jirannya, India, Nepal serta Lesotho, Tajikistan, Cameroon, Nigeria, Bangladesh, Mongolia dan Ghana.
Kesemua negara dinilai berdasarkan ukuran impak pencemaran udara ke atas kesihatan tubuh manusia, pendedahan partikel asing, lapisan ozon, karbon monoksida dan organik rapuh.
Pengukuran EPI dilaksanakan secara telus oleh pasukan penyelidik universiti tersohor dunia, Yale dan Columbia di Amerika Syarikat dengan dibiayai oleh pihak Yayasan McCall MacBain.
Indeks itu yang diusahakan lebih 10 tahun lalu, diwujudkan selaras dengan sasaran Matlamat Pembangunan Mampam 2030 ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu pada 2015 lepas. –UTUSAN ONLINE