Koperasi digalakkan tubuh sekolah swasta sasar B40 - Utusan Malaysia

Koperasi digalakkan tubuh sekolah swasta sasar B40

NOH Omar meninjau sesi pembelajaran dalam kelas selepas merasmikan Sekolah Rendah Islam Integrasi Az-Zahrawi, Puncak Alam, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. -UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Pengusaha koperasi di seluruh negara digalakkan menceburi cabang perniagaan dalam bidang pendidikan yang menyasarkan kumpulan B40 dan secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan.

Saranan tersebut dibuat selepas wujud masalah kepadatan sekolah terutama di kawasan bandar yang dilihat boleh menjejaskan kualiti penyampaian pendidikan selain menjadi pilihan kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mengikut kemampuan mereka.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, cabang pendidikan terutama dalam bandar diyakini memberi sambutan menggalakkan apabila persekolahan menjadi kecenderungan ibu bapa yang tinggal di sana.

 “Kita tahu, dalam bandar, memang tak cukup sekolah, malah, sekolah rendah di Puncak Alam sahaja sampai 3,000 pelajar. Jadi, di Selangor, Kuala Selangor terutamanya yang pihak berkuasa tempatannya (PBT) bertukar daripada majlis daerah menjadi Majlis Perbandaran, tetapi tumpuannya saya tengok di kawasan Puncak Alam.

“Saya lihat pembangunan di Puncak Alam, contoh sekolah. Kalau luar bandar seperti Tanjong Karang dan Sungai Besar sudah banyak sekolah. Paling ramai 300 hingga 500 pelajar. Di sini, sekolah rendah sahaja sudah 3,000 pelajar, walaupun sudah banyak sekolah dibuat,” katanya selepas merasmikan Sekolah Rendah Islam Az-Zahrawi, Puncak Alam, hari ini.

Beliau menambah, koperasi digalak mewujudkan sekolah yang berintegrasi dengan pendidikan Islam supaya dapat melahirkan generasi yang berilmu dan beriman serta berjaya di dunia dan akhirat.

Sekolah Rendah Islam Az-Zahrawi menjadi sekolah swasta pertama di Selangor ditubuhkan melalui Koperasi Felda Bukit Cherakah Selangor Bhd. yang menawarkan perkhidmatan pendidikan sekolah integrasi swasta setempat melibatkan penduduk beragama Islam di Bandar Puncak Alam dan kawasan sekitar.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam kenyataannya memaklumkan penubuhan sekolah tersebut turut mewujudkan kerjasama strategik antara koperasi dengan syarikat Azzahrawi Education Group Sdn. Bhd. untuk pengurusannya.

“Sebanyak RM1.28 juta pembiayaan diluluskan melalui Tabung Modal Pusingan SKM untuk membeli satu unit bangunan kedai bagi pembesaran operasi sekolah.

“Perniagaan dijalankan koperasi berkenaan merancakkan ekonomi di kawasan setempat dan berjaya mewujudkan peluang pekerjaan apabila bilangan guru di sekolah tersebut kini seramai 23 orang dan disokong kakitangan pentadbiran seramai lima orang,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya