GUA MUSANG: Sekumpulan ahli kelab motosikal melakukan kerja ‘gila’ apabila berkonvoi selama seminggu sejauh 2,500 kilometer (km) sambil mengibarkan Jalur Gemilang sebagai menzahirkan semangat patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65 bagi tahun ini.
Presiden Kelab Anita Bikers, Anita Yusop berkata, konvoi yang bermula dari Kuala Lumpur itu akan menjelajah beberapa negeri seperti Pahang, Kelantan, Perak, Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor sambil mengajak masyarakat untuk turut sama mengibarkan bendera kebangsaan itu.
Menurutnya, selain itu, konvoi tersebut bertujuan menjejak dan menghargai jasa bekas anggota tentera yang telah banyak berkorban terhadap negara, selain menyebarkan mesej kemerdekaan.
“Setiap negeri kita berjaya mengumpul hampir 50 penunggang untuk bersama-sama dalam program Kembara Jalur Gemilang Anita Nation Ride tahun ini.
“Tujuan utama kembara kemanusiaan ini bukan sahaja untuk memberi bantuan kepada pahlawan negara tetapi menjejak tempat warisan bersejarah dan pelancongan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambahnya, dia berharap program itu akan memberi impak kepada semua pihak terlibat dan para pahlawan tidak semestinya dihargai pada Hari Kebangsaan sahaja.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim, memuji usaha yang dilakukan oleh ahli kelab motosikal.
Katanya, pada hari ini ahli kelab motosikal daerah Gua Musang menyambut mereka dari sempadan Merapoh, Pahang untuk Gua Musang.
“Kita akan menjelajah beberapa tempat pelancongan dan bersejarah menarik di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Gua Musang.
“Selain itu, seramai 35 bekas anggota tentera juga mendapat bantuan bakul makanan dan wang tunai sebagai menghargai jasa mereka,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE