KOTA BHARU: Dewan Pemuda Pas Kelantan mempersoalkan kewajaran kelulusan dan penganjuran konsert melibatkan 10 penyanyi antarabangsa bermula dengan Billie Elish pada 18 Ogos lalu termasuklah Justin Bieber yang akan berjalan secara berurutan selepas ini.
Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Mohamad Kamal Mohamed berkata, pihaknya hairan bagaimana susunan konsert bertali arus dan bertalu-talu ini boleh diluluskan untuk dihidangkan kepada rakyat.
“Tidak takutkah kita kepada murka Allah SWT atau sudah mati rasa dengan program kemaksiatan?
“Tidak cukupkah dengan teguran Allah atas musibah Covid-19 sehingga kita bermaharajalela dan berlumba-lumba menganjurkan konsert dengan mengangkat artis-artis luar negara yang tidak mampu membina akhlak anak muda?” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Mohamad Kamal memberitahu, pihhaknya bimbang penganjuran konsert-konsert berkenaan kerana ia boleh mempengaruhi pembentukan akhlak anak muda pada masa hadapan.
Katanya, Pemuda Pas Kelantan menggesa pihak kerajaan memberikan perhatian serius berkenaan perkara tersebut.
“Apa lagi jika ada kaitannya dengan LGBT. Lebih menggerunkan jika boleh menggugat akidah anak-anak muda negara kita.
“Justeru, adalah sayugia dipohon ketegasan pihak kerajaan terhadap penganjuran ini tanpa prejudis,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE