GUA MUSANG: Kolam air panas Sungai Ber, Lojing di sini yang mempunyai suhu 72 darjah Celcius semakin hilang ‘seri’ apabila kawasan itu terbiar dan tidak diselenggara dengan baik sejak lima tahun lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu mendapati dasar kolam air panas itu dipenuhi keladak selain kemudahan infrastruktur yang rosak dan dipenuhi dengan sampah sarap serta semak-samun.
Seorang pengunjung, Rohaizad Che Soh, 44, berkata, kawasan itu berpotensi menjadi kawasan tarikan pelancong sekiranya diselenggara dengan baik.
Menurutnya, pihak berkuasa tempatan harus lebih peka dengan melakukan pembersihan secara kerap di kawasan berkenaan sekiranya tidak mahu berdepan kemusnahan teruk.
“Saya sebagai pengunjung yang singgah di sini berasa tidak berpuas hati dengan persekitaran kawasan air panas yang kotor dan banyak wakaf rehat terbiar dan bumbung rosak.
“Bagi saya, tempat ini memang unik apabila dilengkapi dengan kawasan persekitaran semula jadi yang indah. Sebelum ini, saya pernah pergi ke beberapa kawasan air panas dan ia tidak sehebat di sini,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Mohd. Johan Awang Kecik, 53, memberitahu, dia kecewa kerana pihak berkuasa tempatan tidak membangunkan kolam air panas yang terletak di tepi jalan Gua Musang-Lojing berhampiran penempatan Orang Asli secara serius.
Katanya, kolam air panas tersebut perlu dibangunkan dengan kemudahan asas yang lengkap agar pengunjung berasa selamat dan selesa untuk datang.
“Sekiranya kemudahan itu disediakan, kami yakin dapat merancakkan ekonomi penduduk Orang Asli di kawasan sekitar yang dapat menjual hasil kraf tangan dan tumbuhan herba mereka.
“Saya juga berharap kepada masyarakat yang datang agar bersikap bertanggungjawab dengan menjaga kebersihan kerana kawasan ini harus dijaga bagi mengekalkan keindahan semula jadinya,” ujarnya.
Sebelum ini, kolam air panas yang terletak di Jalan Gua Musang-Lojing tersebut kerap dikunjungi penduduk tempatan dan luar negeri ini dengan pelbagai tujuan untuk berehat serta mengubati penyakit kulit, sakit sendi atau sakit otot. –UTUSAN ONLINE