KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Hariri Abd. Hadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan gagal memaklumkan pihak polis berkenaan perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)?’.
Amir Hariri, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku penganjur perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)?’ pada 14 Ogos 2022 pukul 2 petang di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman didakwa gagal memberitahu pihak polis yang menjaga daerah Dang Wangi, di sini, lima hari sebelum mengadakan perhimpunan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Radzi Shah Ab. Razak dan Fatin Hanum Abdul Hadi mencadangkan jaminan RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh, pasport diserahkan kepada mahkamah dan Amir Hariri dilarang daripada membuat sebarang komen di media sosial berkenaan kes dihadapinya.
Peguam bela tertuduh, Beatrice Chin Yuen Xin memohon jaminan dikurangkan antara RM500 hingga RM1,000 atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan baru menamatkan pengajian di peringkat sarjana di luar negara.
Katanya, anak guamnya turut menanggung kedua ibu bapa berusia 50-an yang telah bersara di samping telah memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak polis sepanjang siasatan kes tersebut.
Seorang lagi peguam belanya, Rajsurian Pillai bagaimanapun membantah permohonan pihak pendakwaan supaya pasport anak guamnya diserahkan kepada mahkamah kerana Amir merupakan figura awam parti politik, tiada risiko melarikan diri, tiada rekod kesalahan jenayah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 November hadapan untuk sebutan semula kes.
Tiada sebarang arahan dikeluarkan berhubung pasport.
Pada 14 Ogos lalu, satu perhimpunan dikenali sebagai #ManaKapalLCS diadakan di luar kompleks beli-belah Sogo menyaksikan kira-kira 200 orang menyertainya. Tiga hari kemudian, polis menyoal Amir Hariri dan 12 individu lain yang menyampaikan ucapan semasa perhimpunan itu.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mendedahkan, tiada satu pun LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disiapkan meskipun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) secara rundingan terus.
Setakat Ogos 2022, sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan kepada TLDM. –UTUSAN ONLINE