Kematian akibat Covid-19, tanah kubur tinggal 50 liang -

Kematian akibat Covid-19, tanah kubur tinggal 50 liang

IBRAHIM Ahmad menunjukkan kawasan tanah bersebelahan kawasan kubur lama yang akan dibeli untuk pembinaan tanah perkuburan baharu di Sungai Layar, Sungai Petani. -UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kira-kira 5,000 penduduk kariah Masjid Al-Amin, Sungai Layar di sini menuntut kawasan tanah perkuburan baharu selepas tanah perkuburan sedia ada berbaki kira-kira 50 liang lahad sahaja.

Imam yang juga pengerusi jawatankuasa masjid berkenaan, Ibrahim Ahmad berkata, penggunaan tanah perkuburan seluas kira-kira tiga relung berusia 23 tahun itu sudah mencapai tahap 95 peratus dan perlu diganti dengan kawasan perkuburan baharu secepat mungkin.

Menurut beliau, peningkatan jumlah penggunaan tanah kubur tersebut didorong dengan peningkatan mendadak kematian susulan penularan wabak Covid-19 sebelum ini.

Kata Ibrahim, jika kawasan perkuburan itu penuh, jenazah daripada kariah itu terpaksa dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudatul Mawaddah, Sungai Batu yang berjarak kira-kira tiga kilometer dari kawasan masjid.

“Pihak masjid sebolehnya hendak memudahkan urusan anak kariah supaya jenazah ahli keluarga mereka dapat dikebumikan di tanah perkuburan dalam kariah sendiri,” katanya ketika ditemui di Masjid Al-Amin, Sungai Layar di sini semalam.

Ibrahim memberitahu, pihaknya kini dalam usaha mengumpul dana bagi membuka tanah perkuburan baharu di atas tiga tanah lot dengan jumlah keluasan kira-kira lapan relung yang dijangka dapat digunakan untuk tempoh selama lebih 15 tahun lagi.

“Setakat ini, lot pertama sudah selesai urusan pembelian dan dalam proses menambak tanah, lot kedua pula sudah dibayar deposit manakala lot ketiga masih dalam urusan pembelian.

“Pihak masjid kini memerlukan kos RM2.5 juta lagi untuk menyelesaikan bayaran pembelian semua tanah lot tersebut dan kegunaan membersihkan tanah, menambak dan memasang pagar di tanah perkuburan tersebut.

“Kawasan tanah ini perlu dibersihkan kerana kawasan tersebut dipenuhi belukar, berpaya dan kawasan sawah, jadi kos untuk bersih dan tambun tanah juga tinggi.

“Justeru, kita mengharapkan sumbangan orang ramai untuk melaksanakan projek tanah perkuburan baharu,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Agro Bank, Masjid Al-Amin, 2-00-5141-00001770-7 atau hubungi Ibrahim di talian 011-35532786. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya