KOTA TINGGI: Dua beranak maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta berhampiran Felcra Dusun Panti, Kota Tinggi pagi tadi.
Mangsa yang maut ialah dua penumpang kereta Proton Wira iaitu Titah Abd. Ghani ,58, dan anaknya, Samsiah Abdullah, 21, manakala suami Samsiah, Mohd. Fahmi Aizat Mokhtar, 24, cedera dalam kemalangan itu.
Sementara itu, kesemua mangsa yang menaiki Proton Saga, iaitu Junaidah Muhmad, 48, Liqwan Shah Nasution Lindung Saputra, 26, dan Lizwan Sharel Nasution Abdullah, 18, mengalami kecederaan.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 10.51 pagi.
“Seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian. Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan sebuah kereta jenis Proton Wira.
“Terdapat empat mangsa berjaya keluar dari kenderaan sebelum ketibaan pihak bomba, manakala dua mangsa perempuan dewasa tersepit di dalam kenderaan Proton Wira.
“Anggota kita bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan yang berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sasatan awal mendapati mangsa yang meninggal dunia merupakan anak beranak yang tinggal di Mersing.
Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi menggunakan jentera EMRS serta ambulans, manakala jenazah mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk sisasatan lanjut.
Operasi tamat pada pukul 12.15 tengah hari. –UTUSAN ONLINE